LUMUT: Sebanyak 26 kluster Influenza-like-Ilness (ILI) masih aktif di Perak sehingga kini dengan semuanya melibatkan institusi pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, daerah Kinta mencatatkan enam kluster iaitu yang tertinggi diikuti Kuala Kangsar dan Hulu Perak masing-masing mencatatkan lima kluster.
“Bilangan kluster ini menunjukkan penurunan berbanding 35 kluster keseluruhan yang dicatatkan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan ia tidak melibatkan sebarang kematian,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak 2022 di Sitiawan, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin dan Pegawai Kesihatan Daerah Manjung, Dr. Asraf Ahmad Qamrudin.
Menurut Mohd. Akmal, keadaan jangkitan ILI di Perak adalah terkawal dengan majoriti mereka menerima rawatan pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke wad hospital.
Beliau menjelaskan, jangkitan ILI di Perak adalah selari dengan aliran kadar jangkitan penyakit itu di seluruh negara.
Mohd. Akmal menggesa ibu bapa dan warden asrama agar mengambil sikap proaktif dengan segera mengasingkan anak atau pelajar mereka yang dikesan menghidap ILI kerana ia adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit.
Beliau memaklumkan keadaan kesesakan dan pergaulan di asrama juga antara penyumbang utama jangkitan ILI yang antara simptomnya adalah demam selesema.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Akmal berkata, bilangan kes denggi di Perak menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus tahun ini berbanding ketika tempoh pandemik Covid-19 tahun lalu.
Jelas beliau, setakat 27 Jun lalu, jumlah kumulatif kes denggi ialah 463 kes iaitu peningkatan 150 kes atau 47.9 peratus berbanding 313 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau memaklumkan daerah Kinta mencatat kes tertinggi iaitu 252 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Jun tahun ini berbanding 94 kes bagi tempoh sama tahun lalu atau peningkatan 54.4 peratus diikuti daerah Larut Matang Selama (LMS) (44 kes) dan daerah Manjung (43 kes).
“Sehingga bulan lalu, terdapat 232 pasukan COMBI (Communication for Behavioral Impact) bagi mencegah denggi sudah ditubuhkan di seluruh negeri.
“Pada masa sama, kita menggesa seluruh masyarakat meluangkan masa kira-kira 10 minit setiap minggu bagi melakukan pemeriksaan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman masing-masing,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










