20 ambulans Tabung Haji siap siaga menyantuni bakal jemaah - Utusan Malaysia

20 ambulans Tabung Haji siap siaga menyantuni bakal jemaah

NOOR HISHAM Abdullah (kanan) dan Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika meninjau keadaan ambulans Malaysia di Mekah. - Foto ihsan Kementerian Kesihatan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun Arab Saudi menetapkan protokol amat ketat ke atas bakal jemaah luar negara, Tabung Haji tetap bersiap siaga jika ada kecemasan melibatkan warga Malaysia.

Antaranya penyediaan 20 buah ambulans berspesifikasi tinggi yang akhirnya menerima permit atau tasrih daripada pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi bagi melakukan perkhidmatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, dua Pusat Rawatan Tabung Haji iaitu di Mekah dan Madinah juga berjaya menerima kelulusan permit atau tarkhis.

“Ia merupakan pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama di Arab Saudi mendapat permit untuk pengoperasian musim haji kali ini,” katanya dari Mekah menerusi kenyataan akhbar.

Perkhidmatan yang ditawarkan pusat berkenaan adalah hampir setara dengan hospital pakar ‘minor’ setelah melalui pemeriksaan teliti oleh pihak berwajib negara itu sebelum kelulusan.

Ini termasuklah rawatan untuk pesakit luar dan dalam, kecemasan, radiologi atau pengimejan diagnostik, makmal perubatan, farmasi, fisioterapi, pergigian dan khidmat pemakanan diet.

Pusat itu ujarnya, turut menyediakan rawatan pakar perubatan keluarga, ortopedik, psikiatri, kesihatan awam, penjagaan spiritual, pendidikan kesihatan, bimbingan ibadah dan survelan.

Pihak Kementerian Kesihatan juga ada membekalkan sebanyak 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah yang dijangkiti wabak Covid-19 sepanjang di sana.

“Ini merupakan pengiktirafan kepada tahap kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan bagi jemaah Malaysia di kedua-dua Tanah Suci,” jelas Noor Hisham.

Seramai 255 petugas Kementerian Kesihatan dari tanah air dihantar menyantuni jemaah yang meliputi 128 petugas berpengalaman bertugas sebelum ini dan baki 127 lagi petugas baharu.

Secara keseluruhan tambah beliau, bilangan kapasiti di Pusat Rawatan Pesakit Dalam adalah sejumlah 268 katil, manakala Pusat Rawat dan Rehat pula menyediakan sebanyak 184 katil.

Pasukan Rombongan Perubatan Musim Haji Malaysia jelasnya, sedang membuat persiapan rapi dan bersiap sedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada 14,306 jemaah negara ini.

Pihak Kementerian Kesihatan katanya, turut mengucapkan terima kasih atas komitmen dan pengorbanan petugas dalam memastikan jemaah akan mendapat perkhidmatan yang terbaik.

“Alhamdulillah, operasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan dilaksanakan di semua fasiliti di bawah Tabung Haji itu setakat ini berjalan dengan cukup lancar dan amat baik,” tegasnya.

Beliau yang meninjau sendiri kemudahan tersebut di Mekah turut merakamkan penghargaan tinggi kepada Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Untuk operasi kali ini, pihak kerajaan meluluskan RM5 juta bagi perbelanjaan perkhidmatan kesihatan kerana bilangan jemaah adalah separuh berbanding kuota diterima sebelum ini. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN