10,000 pelajar ditawar hidangan serendah RM3.50 di UMT - Utusan Malaysia

10,000 pelajar ditawar hidangan serendah RM3.50 di UMT

DR. Mazlan Abd. Ghaffar (kiri) membantu mengagihkan Menu Keluarga UMT kepada pelajar di pusat pengajian itu di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Hampir 10,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terutama golongan kurang mampu (B40) dibantu melalui Menu Keluarga UMT bagi berdepan isu kenaikan kos sara hidup.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, Menu Keluarga UMT menawarkan hidangan lengkap nutrisi pada harga RM3.50 di semua 24 pengusaha makanan di dalam kampus.

Beliau berkata, UMT memberi jaminan untuk meneruskan inisiatif berkenaan dan tidak bersifat ‘bermusim’ sekali gus menaikkan indeks keharmonian dalam kalangan warga universiti.

“Penyediaan menu adalah berbeza mengikut pilihan pengusaha, tetapi, menu asas adalah nasi, ayam dan sayur selain harga maksimum ditetapkan pada kadar RM3.50.

“Terdapat kira-kira 4,000 pelajar di dalam kampus dan 6,000 yang menyewa di luar. Jadi, kita harap tiada seorang pun yang tertekan dengan masalah kewangan dan boleh memberi fokus dalam kuliah.

“Bukan sahaja pelajar, Menu Keluarga UMT juga boleh dinikmati dan terbuka kepada semua warga universiti termasuk kakitangan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama pelajar di sini, hari ini.

Salah seorang penuntut, Siti Nur Aisyah Abdullah, 21, berkata, dia berjaya menjimatkan perbelanjaannya sekali ganda sejak Menu Keluarga UMT diperkenalkan.

“Langkah ini sangat membantu pelajar terutama yang datang dari golongan B40. Jika sebelum ini RM20 ‘tak lari’ untuk belanja makan sehari.

“Melalui Menu Keluarga UMT, saya boleh beli beraneka hidangan pada harga lebih murah setiap hari namun tetap menyihatkan badan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN