Wujudkan skim pembiayaan alternatif - Utusan Malaysia

Wujudkan skim pembiayaan alternatif

AHMED RAZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan skim pembiayaan alternatif yang tidak bergantung kepada bank yang mengenakan kadar faedah tinggi serta mengetatkan syarat pemilikan kad kredit bagi membendung peningkatan kadar individu muflis di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pendekatan alternatif itu perlu dilakukan disebabkan strategi meminda akta bankrap mungkin hanya mampu sahaja melengahkan impak muflis.

Malah, katanya, strategi menangguhkan tindakan mahkamah atau menaikkan nilai ambang juga tidak akan membantu golongan muflis, malah menjadikan ia lebih teruk.

Ahmed Razman berkata, contoh pembiayaan yang boleh diperkenalkan kerajaan adalah pinjaman berbentuk Qardhul Hassan untuk pembiayaan peribadi dan pembelian rumah melalui musyarakah mutanaqisah.

“Faktor mudah untuk memiliki kad kredit juga menjadi punca ramai belia muflis sebab itu syaratnya perlu diketatkan, di samping tidak berdisiplin dalam menguruskan kewangan peribadi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, ramai yang berdepan dengan bankrap adalah mereka yang dibuang kerja akibat pandemik Covid-19 sekali gus tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan dan membayar hutang.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Akta Insolvensi 1967 akan diperhalusi semula bagi mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis pada masa akan datang.

Katanya, undang-undang itu menjadi perhatiannya setelah dimaklumkan sejumlah 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada golongan belia hasil Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia.

Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, berkata, masyarakat berhutang perlu diberi pendidikan dan pendedahan menguruskan hutang dengan baik.

“Selain itu, jika pihak bank mengambil tindakan mahkamah disebabkan lambat bayar hutang dari tempoh tertentu, mereka tidak perlu lari dan berasa takut. Pihak bank tentu telah memberi notis terlebih dahulu tentang perkara tersebut.

“Mereka juga boleh berbincang dengan hakim tentang amaun yang boleh dibayar meskipun mempunyai kekangan kewangan,” jelasnya.

Turut menyuarakan pandangan sama, konsultan kewangan INFAQ Consultancy Sdn. Bhd., Afyan Mat Rawi berkata, akta bankrap itu perlu dikaji semula jika ia bertujuan menambah baik dengan objektif mengurangkan golongan bankrap.

“Namun begitu, jika ia hanya untuk menjaga kepentingan institusi kewangan dan bank sahaja, saya tidak setuju. Sebelum ini, sudah banyak undang-undang yang menekan pengguna tetapi tidak banyak yang menjaga hak pengguna.

“Justeru, selain mengkaji semula akta tersebut, masyarakat juga perlu didedahkan dengan ilmu kewangan dan kepenggunaan supaya mereka dapat menguruskan hutang dengan efisien,” katanya.

Sementara itu, katanya, punca utama golongan belia paling banyak diisytiharkan muflis adalah disebabkan tiada ilmu kewangan, kesedaran dan pendedahan yang mana mereka sepatutnya dididik tentang ilmu kewangan.

“Bagaimanapun, saya lihat, makin banyak kemudahan-kemudahan berhutang disediakan yang hanya menggalakkan orang berhutang sekali gus menyebabkan bankrap. Misalnya, sistem beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later – BNPL) yang diperkenalkan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.