PASIR PUTEH: Seorang wanita warga negara Thailand berusia 56 tahun meninggal dunia selepas solat Asar di Masjid Ibrahimi, di sini semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.55 petang, wanita itu yang dikenali sebagai Norhayati Mustafa dilihat berada dalam keadaan sujud pada rakaat kedua sehingga selesai solat.
Berkongsi kejadian bersama Utusan Malaysia, Imam Tua masjid itu, Mohamad Sabri Abdul Ghani berkata, wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhir selepas ditelentangkan dan diajar mengucap dua kalimah syahadah.
Menurutnya, ahli khariah wanita membantu mengubah kedudukannya selepas solat Asar selesai kerana mengesyaki sesuatu masalah yang menimpanya.
“Wanita berkenaan adalah isteri ketiga arwah Mohd. Rasad Muhamad yang meninggal dunia sejak 13 tahun lalu. Bekerja sebagai pembantu kedai di Pasar Siti Hajar sejak sekian lama untuk membesarkan lima anaknya selepas kematian suaminya.
“Dia yang berasal dari Wilayah Yala, Thailand dikenali ramai dalam kalangan kariah masjid dan peniaga sekitar bandar ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohamad Sabri, kejadian itu adalah kali pertama sepanjang bertugas di masjid jajahan dan pihak masjid mengambil tanggung jawab membantu keluarga si mati termasuk menanggung segala kos pengebumian.
“Saya bertindak melaporkan kejadian ini kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya. Malah urusan melaporkan kejadian ini ke konsulat Thailand di Kota Bharu dan mendapatkan permit pengebumian diuruskan sepenuhnya oleh pihak masjid.
“Solat jenazah akan disempurnakan di masjid ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Siang sebaik sahaja semua prosedur dan urusan berkaitan selesai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, berdasarkan pengesahan pegawai kesihatan yang menjalankan pemeriksaan mendapati arwah adalah penghidap penyakit kencing manis dan jantung.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati Norhayati telah menetap di negara ini sejak 16 tahun lalu selepas mendirikan rumahtangga dengan penduduk tempatan.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah yang bersabit dengan kematiannya dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. –UTUSAN ONLINE










