PETALING JAYA: Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta semua pihak menyokong agenda pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial bagi wanita dan remaja yang di bawa Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam Sidang Kemuncak Wanita Global 2022.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kerjasama rapat Malaysia dan Vietnam dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi adalah satu perkara yang harus disambut baik semua tanpa mengira jantina.
Ujarnya, idea untuk meningkatkan penyertaan wanita di dalam politik dan korporat juga merupakan satu idea yang perlu disokong.
“Menurut laporan berkala keenam Malaysia yang dikemukakan oleh kerajaan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), wanita hanya membentuk 19 peratus menteri persekutuan, 19 peratus senator, 16 peratus ahli majlis tempatan, dan 15 peratus Ahli Parlimen.
“Bersatu dan Perikatan Nasional boleh memainkan peranan untuk meningkatkan angka-angka ini.
“Malah, sebagai parti politik, amat wajar jika Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) boleh menjuarai agenda meningkatkan penyertaan wanita dalam pentadbiran negara dengan cara memastikan calon-calon wanita yang berkaliber diberikan tempat baik di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Khamis lalu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkongsi pengalaman bersama dunia dalam usaha membantu golongan wanita negara ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Rina, beliau bangga menceritakan bagaimana menginspirasikan inisiatif itu ketika seluruh negara berada dalam tempoh sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
“Menurut laporan berkala keenam Malaysia yang dikemukakan oleh kerajaan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), wanita hanya membentuk 19 peratus menteri persekutuan, 19 peratus senator, 16 peratus ahli majlis tempatan, dan 15 peratus Ahli Parlimen.
Wan Saiful menambah, Bersatu dan Perikatan Nasional boleh memainkan peranan untuk meningkatkan angka-angka ini.
Katanya, sektor korporat juga kekurangan wanita yang hanya terdiri daripada kira-kira satu perempat daripada ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai (listed companies).
Malah, Wan Saiful berkata, kekurangan wanita terutamanya dalam dalam pentadbiran sektor korporat ketika ini jelas menunjukkan masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi mempertingkat penyertaan wanita.
Katanya, ini kerana kira-kira satu perempat daripada ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai terdiri daripada golongan wanita.
“Sokongan berterusan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong strategi yang dirangka Kerajaan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, sosial dan politik.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Rina atas kejayaan dan komitmen yang beliau tunjukkan. Kesungguhan beliau memperjuangkan agenda memartabatkan wanita akan membawa manfaat kepada negara secara keseluruhan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE