TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang buat pertama kali menyertai ranking Times Higher Education (THE) Universiti Asia berjaya mencapai kedudukan 164.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pencapaian itu membuktikan UPSI komited dalam memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan dan guru yang dihasilkan di negara ini.
Menurutnya, UPSI bergerak secara proaktif dalam membangunkan pedagogi dan penyelidikan berkaitan pendidikan sekaligus menjadi pemangkin terhadap dunia pendidikan negara.
“Sebanyak lima kriteria utama diambil kira bagi menilai kedudukan menerusi pengajaran, penyelidikan, petikan ilmiah, pandangan antarabangsa dan pendapatan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, menerusi pencapaian yang membanggakan tersebut, UPSI berhasrat untuk terus komited dalam menghasilkan graduan pendidikan berkualiti selaras dengan hasrat dan keperluan negara.
“Sejak ditubuhkan pada 1997, UPSI melahirkan lebih 90,000 graduan pendidikan yang berkhidmat di seluruh negara.
“UPSI memiliki dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang berkeluasan 85 ekar terletak berhampiran pekan Tanjung Malim, manakala Kampus Sultan Azlan Shah yang berkeluasan 850 ekar pula terletak di Proton City,” katanya. –UTUSAN ONLINE