'Ubah kawasan pembuangan sampah haram jadi lokasi riadah' - Utusan Malaysia

‘Ubah kawasan pembuangan sampah haram jadi lokasi riadah’

'UPCYCLE LANE' Persiaran Tenggiri yang dulunya merupakan antara 'hotspot' bagi kawasan pembuangan sampah haram di sekitar Seberang Jaya, Pulau Pinang kini 'bertukar' wajah menjadi lokasi riadah untuk penduduk setempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Mengubah dan menaik taraf kawasan tempat pembuangan sampah haram menjadi lokasi riadah untuk orang ramai.

Itu antara usaha yang dilakukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mengekang dan membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram selain menguatkuasakan peraturan sedia ada.

Menurut Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad, antara projek untuk mengubah dan menaik taraf kawasan tersebut ialah di Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya di sini.

Katanya, MBSP menjalankan soal selidik dan perbincangan bersama penduduk setempat sebelum ini dan rata-rata mereka menyokong serta bersetuju untuk diwujudkan projek pengindahan di kawasan berkenaan.

“Penduduk juga mencadangkan penambahan elemen-elemen struktur pengindahan yang berkonsepkan penggunaan sampah sarap yang dikutip dan dikitar semula lalu ditambah baik dengan bahan baharu.

“Justeru, konsep yang diketengahkan dalam projek ini adalah mengikut keperluan pelbagai lapisan masyarakat iaitu ‘laluan dinamik’ bagi golongan muda dan ‘laluan santai’ bagi golongan berusia serta orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika merasmikan projek tersebut yang dikenali sebagai ‘Upcycle Lane’ Persiaran Tenggiri di sini, semalam.

Azhar menjelaskan, 85 peratus bahan yang digunakan untuk projek tersebut adalah bahan kitar semula manakala selebihnya terdiri daripada campuran bahan baharu seperti simen, konkrit, cat, gentian kaca dan sebagainya.

“Boleh dikatakan 100 peratus hasil kerja, idea dan kreativiti untuk menyiapkan projek ini datangnya daripada kalangan Wira Oren (warga MBSP) itu sendiri,” katanya yang memberitahu, ‘Upcycle Lane’ Persiaran Tenggiri itu mengambil masa sehingga 16 bulan untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM36,018.09.

Tambah beliau, kewujudan lokasi riadah baharu itu diharap dapat memberi impak terhadap peningkatan kualiti persekitaran berkenaan sekali gus memenuhi ekspektasi penduduk setempat demi mencapai kualiti hidup yang lebih baik. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN