fbpx

Tak mungkin saya tipu mengenai sakit – Elyana

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon terkenal, Elyana meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak yang mendakwa dia menipu mengenai kanser limfoma yang dialaminya sebelum ini.

Elyana mendedahkan ada dalam kalangan rakan-rakan karibnya juga menyebarkan dakwaan yang tidak berasas itu.

Namun penyanyi lagu Kalis Rindu itu tidak mengambil pusing dan menganggap mereka itu tidak memahami ‘penderitaan’ yang dialaminya.

“Pada awalnya saya memang rasa kecewa kerana saya sudah sakit lebih 10 tahun. Memang banyak sangat dengar, ada juga kalangan rakan baik yang cakap seperti itu.

“Walaupun dia tahu kita ulang-alik ke hospital, anak kita sanggup tak sekolah kerana tiada siapa yang dapat hantar. Mereka tahu perkara ini.

“Tetapi saya menganggap orang seperti ini, dia tidak membantu semasa saya sakit. Jadi, mereka ini memang tidak tahu ‘struggle’ saya macam mana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Elyana memberitahu, dia telah pun memaafkan semua pihak terutama warganet yang pernah melontarkan fitnah terhadap dirinya, sebelum ini.

“Jadi, mereka ini boleh melontarkan apa sahaja dalam fikirannya. Kebanyakan juga, antara warganet yang pernah bercakap yang tidak baik seperti memfitnah.

“Mereka cakap saya ini tidak sakit dan bercakap buruk mengenai saya. Mereka ini sendiri meminta maaf menerusi pesanan langsung (DM). Alhamdulillah, semua sedar apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Saya maafkan,” jelasnya.

Pelakon drama popular Dunia Baru itu menitipkan pesanan buat orang di luar agar sentiasa menjaga pertuturan dan berfikir dahulu sebelum melontarkan sebarang kata-kata terhadap seseorang.

“Bagi saya, saya tidak akan menipu mengenai sakit. Tidak mungkin, kerana setiap kata itu adalah doa.

“Saya percaya akan kifarah, apabila kita bercakap buruk tentang seseorang, Allah nak balas kepada kita itu sekelip mata sahaja. Kita kena jaga kata-kata dan pemikiran,” katanya.

Berkongsi perkembangan kesihatan terkini, Elyana memaklumkan dia masih mempunyai empat kali rawatan kemoterapi yang perlu dijalani setiap dua minggu sekali.

“Sekarang ini, saya ada masih berbaki empat sesi kemoterapi. Sebenarnya perlu teruskan rawatan pada bulan puasa tetapi saya minta kepada doktor supaya menangguhkan dahulu sebab nak nikmati kehidupan Ramadan.

“Kalau nak ikutkan memang bahaya tangguhkan, namun insya-Allah ini semua ketentuan Allah. Bukan tidak mahu buat, tetapi kita lewatkan masa sedikit. Lepas raya ini insya-Allah saya sambung lakukan kemoterapi dua minggu sekali seperti biasa,” katanya.

Pada Disember lalu, Elyana berkongsi khabar gembira apabila penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya selama 11 tahun telah hilang.

Terdahulu, dia pernah memaklumkan kanser itu menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.

Elyana membuat pendedahan mengenai penyakit kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017. –UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN