PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) bermula sejak awal Februari tahun ini.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, antara siasatan yang dijalankan melibatkan beberapa individu dan syarikat termasuk syarikat senaraian awam.
Malah kata beliau, untuk rekod, SPRM juga pernah menahan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk pada 22 Mac lalu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembinaan MRT bernilai lebih RM650 juta.
“Hasil siasatan itu, kita telah menemukan beberapa maklumat baharu berkaitan penyelewengan membabitkan MRT dan LRT,” katanya di sini, semalam.
Mengulas siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap tiga syarikat kejuruteraan yang menjalankan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT), Hishamuddin berkata, SPRM bersedia bekerjasama dalam menyalurkan maklumat yang dikehendaki.
“Bagaimanapun, proses berkenaan perlu melalui Jabatan Peguam Negara untuk melihat bantuan dan keperluan mereka,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan penyiasat Perancis meminta bantuan Malaysia dengan menghantar permohonan rasmi melalui Mutual Legal Assistant (MLA) kepada Jabatan Peguam Negara bagi memperoleh maklumat-maklumat yang diperlukan bagi tujuan siasatan.
Sebelum itu, akhbar ini turut melaporkan tiga syarikat kejuruteraan disiasat dalam penipuan dan rasuah melibatkan projek KVMRT kerana dipercayai membayar RM54 juta kepada individu tertentu.
Jumlah yang dibayar adalah balasan bagi satu projek yang diterima tiga syarikat berkenaan.
Isnin lalu, akhbar ini mendedahkan senarai beberapa nama individu kenamaan dan syarikat berkepentingan sudah berada dalam radar SPRM selepas didakwa menerima rasuah bagi menjayakan projek-projek awam.
Utusan Malaysia mendedahkan, SPRM ketika ini difahamkan sedang meneliti secara menyeluruh meliputi dua skop iaitu projek LRT di sebuah lokasi, projek MRT.
Kesemua projek mega itu membabitkan nilai RM30 bilion dalam tempoh sejak 2011 sehingga kini.
Projek berkenaan didakwa dilaksanakan oleh sebuah syarikat di negara ini yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis yang terkenal dengan kes-kes penipuan dengan memalsukan ujian keselamatan dan kualiti yang dilaksanakan. – UTUSAN










