PETALING JAYA: Pemain berdarah kacukan yang berkelana di luar negara dan berhasrat menyarung jersi Harimau Malaya perlu mencapai standard dimahukan dalam skuad kebangsaan.
Perkembangan ini dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat pemain warisan lagi untuk diserap ke dalam skuad Harimau Malaya.
Beberapa pemain warisan dilihat menyerlah ketika beraksi bersama Harimau Malaya sehingga layak secara merit beraksi di Piala Asia 2023 dan pada masa sama menamatkan penantian selama 42 tahun.
Antaranya Junior Eldstal, La’Vere Corbin-Ong dan Darren Lok, Matthew Davies dan Dion Cools.
Hamidin berkata, pemain yang mungkin terpilih itu perlu mencapai standard dimahukan dalam skuad kebangsaan.
“Saya rasa ada beberapa kelab sedang melihat pemain warisan iaitu ayah, emak atau datuk nenek dia dari Malaysia dan dia dah boleh dapat pasport serta-merta.
“Tapi kita di Malaysia tak ramai sangat (pemain warisan) macam Filipina yang ayah, datuk dia dari luar negara seperti Sepanyol dan Argentina.
“Kalau ada (yang layak) dan saya tengok beberapa kelab pun ada (pemain warisan), mungkin kita akan mengalu-alukan mereka, tetapi perlu mencapai standard dalam skuad kebangsaan,” katanya. – UTUSAN










