KUANTAN: Sepatutnya pengurusan bekalan ikan negara dan langkah membela nasib nelayan sudah selesai sejak 20 tahun lalu tetapi ia tidak berlaku kerana kegagalan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) memainkan peranan masing-masing.
Akibatnya, sehingga ke hari ini nasib nelayan khususnya nelayan kecil terus terumbang-ambing dan isu bekalan ikan dengan harga yang tidak stabil terus berlaku dan memberi kesan kepada rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha bot laut dalam Pahang, Tengku Adnan Tengku Husin, 59, berkata, isu-isu berkenaan kerap kali dibangkitkan oleh golongan nelayan tetapi agensi yang bertanggungjawab tidak bersungguh-sungguh menanganinya.
DISUARAKAN
“Kenapa sekarang baharu bercakap soal LKIM wajib beli ikan terus dari nelayan. Ini sepatutnya telah lama dilaksanakan dan ia kerap kali disuarakan oleh nelayan tetapi disalahkan nelayan kerana menjual ikan pada orang tengah.
“Tidak timbul soal orang tengah sebenarnya, kita nelayan laut dalam misalnya, kita jual ikan kepada peraih sebagai contoh ikan selar RM18 sekilogram. Peraih pula jual ikan tersebut RM20 sekilogram. Harganya terus naik kerana ikan itu sampai tangan ke tangan sehingga dibeli oleh pengguna.
“Semua tauke-tauke yang beli ikan, sepatutnya peranan ini dimainkan sejak sekian lama oleh LKIM dan juga Nekmat daripada membeli ikan, dibekukan dan dijadikan stok, tetapi agensi terbabit gagal,” dakwa di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, kompleks LKIM misalnya, ia hanya sekadar atas nama agensi terbabit sahaja tetapi di dalamnya dikuasai oleh tauke-tauke besar.
“Semua diuruskan tauke-tauke, jadi apa peranan LKIM sebenarnya,” soalnya.
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan keikhlasan LKIM dan Nekmat dalam membantu nelayan khususnya bumiputera terutama membabitkan minyak diesel nelayan C2.
DIESEL
“Isu minyak diesel ketika ini terus membelenggu nelayan C2, harganya ketika ini RM5.20 seliter. Kalau benar hendak tolong nelayan, lihat juga isu harga minyak ini. Nelayan C2 cukup terbeban, beli minyak mahal tetapi ikan hendak murah.
“Sebulan kami perlu isi kira-kira 30,000 liter diesel untuk sebuah bot, jadi dengan harga sekitar RM4 ke RM5 seliter pada ketika ini, kami perlu belanja lebih RM100,000 sebulan hanya untuk isi minyak,’’ katanya.
Begitu juga tentang minyak diesel bersubsidi, beliau mempersoalkan adakah majoriti nelayan tempatan yang memperoleh keistimewaan itu.
“Di Pahang saya boleh kata 90 peratus tekong Myanmar dan Thailand yang dapat beli minyak diesel bersubsidi. Ini kerana bot-bot mereka atas nama tauke-tauke tertentu tetapi pekerjanya adalah dari Myanmar dan Thailand,” dakwanya. – UTUSAN











