Semak semula belanjawan, laksana subsidi bersasar - Utusan Malaysia

Semak semula belanjawan, laksana subsidi bersasar

Mohd. Afzanizam Abdul Rashid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian kewangan perlu meneliti dan menyusun semula peruntukan setiap kementerian menerusi belanjawan tahunan memandangkan jumlah subsidi bagi tahun ini dijangka mencecah RM80 bilion.

Penyusunan semula kewangan negara dilihat sebagai langkah meminimumkan perbelanjaan sekaligus digunakan untuk hal-hal paling mustahak memandangkan kerajaan tidak boleh menghapuskan subsidi secara serta-merta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sekurang-kurangnya, semakan semula dan ‘memotong’ sebilangan dana kementerian dapat menguruskan kewangan dengan lebih baik kerana tanggungan subsidi kini sangat besar.

“Perbelanjaan negara merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Kedua-dua ini perlu diperhalusi dan susun semula peruntukan setiap kementerian.

“Sebab kalau menaikkan cukai dalam situasi sekarang tidak mudah kerana ekonomi negara baru pulih. Kalau perkenalkan cukai baharu, saya khuatir pertumbuhan ekonomi negara pula terjejas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berpandangan, subsidi yang sepatutnya membantu golongan marhaein wajar dihapuskan kerana ia pada masa sama dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan tinggi (T20) dan mendorong kepada kegiatan penyeludupan.

Bagaimanapun, katanya, mesti ada mekanisme paling berkesan untuk memansuhkan subsidi kerana langkah menghapuskannya serta-merta tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

“Semua orang sukakan subsidi tetapi ia bersifat sementara sedangkan peruntukan itu kalau dibelanjakan untuk instrastruktur, kesihatan dan pendidikan memberi pulangan lebih baik pada negara.

“Kalau subsidi dihapuskan, wang lebihan boleh ditambah ke dalam pakej-pakej bantuan tunai, program pendidikan dan kesihatan. Nampak macam ‘mimpi’ tetapi inilah paling ideal,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merujuk Laporan Kewangan Rakyat Ke-100 memaklumkan, jangkaan keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi tahun ini.

Unjuran subsidi kepenggunaan itu adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr. Zokhri Idris berkata, kerajaan perlu melaksanakan subsidi secara bersasar.

“Sudah tibasa masanya untuk kerajaan menggunakan subsidi bersasar. Hanya golongan yang benar-benar memerlukan, miskin tegar, golongan berpendapatan rendah (B40) masih boleh menggunakan subsidi dan selebihnya tanggung sendiri.

“Namun, saya berharap kerajaan bersikap lebih telus dan objektif dalam mengenal pasti kelayakan untuk golongan yang boleh menerima subsidi bersasar ini,” katanya ketika dihubungi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya