SHAH ALAM: Kerajaan negeri disaran mencontohi tindakan Kerajaan Persekutuan melaksanakan penjenamaan semula Stadium Putra Bukit Jalil kepada Axiata Arena menerusi perjanjian yang bernilai RM55 juta pada 2017.
Justeru, berbanding diroboh, kerajaan negeri disaran melaksanakan tender secara terbuka bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat swasta yang berminat untuk membaik pulih dan menyelenggara Stadium Shah Alam.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau sedia menyokong cadangan kerajaan negeri sekiranya pembangunan yang hendak dilakukan terhadap Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) itu membawa kebaikan, namun menolak sebarang cadangan untuk merobohkannya.
“Saya tak boleh menilai secara keseluruhan kerana saya tiada angka dan kajian mendalam terhadap stadium, tetapi kerajaan negeri boleh membuka kepada syarikat yang boleh buat penilaian dan kita ambil yang paling rendah tetapi menguntungkan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu, beliau memaklumkan melawat Stadium Shah Alam dan beberapa kemudahan sukan lain yang terletak di sekitar Seksyen 13 dan kawasan berdekatannya, namun meluahkan rasa kecewa terhadap penjagaan dan penyelenggaraan fasiliti tersebut.
“Tadi kita melawat pusat akuatik, gimnastik, semua tidak berada dalam keadaan sepatutnya. Begitu juga apabila pergi ke Akademi Bola Sepak Merah Kuning, pun sama. Kita kecewa dengan pengurusan kerajaan negeri, tak serius membawa sukan negeri kembali gemilang seperti dahulu.
“Saya akan bawa isu ini ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan yakin berjuta rakyat seperti saya iaitu anak jati negeri ini tak mahu Stadium Shah Alam diroboh dan diganti. Sebaiknya stadium tersebut dibaik pulih supaya memberi satu sinar baharu yang boleh digunakan pada masa akan datang,” tegasnya. – UTUSAN










