Rezeki Muslim pada kasut - Utusan Malaysia

Rezeki Muslim pada kasut

MUSLIM Yahya tekun membaiki kasut para pelanggan sebagai sumber rezekinya di tepi jalan berhampiran bulatan Jubli Emas, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Melalui jalan besar menuju ke Arau, di sebelah kiri jalan berhampiran bulatan Jubli Emas di sini, mata pastinya akan tertumpu ke arah kelibat seorang lelaki tekun membaiki kasut para pelanggannya.

Jika hujan, dia lekas menuju ke sebuah pondok menunggu bas berhampiran tempatnya men­cari rezeki itu untuk ber­teduh.

Dalam keadaan serba mencabar pandemik Covid-19 sebelum ini dan kini berdepan pula kenaikan harga barangan, Muslim Yahya, 57, bagaimanapun tetap bersyukur dengan pendapatan diperoleh iaitu sekitar RM50 sehingga RM70 sehari.

Dia yang kini tinggal seorang diri berkata, pendapatan hasil mem­baiki atau menjahit kasut para pelanggan itu cukup untuknya menampung kehidupan seharian dalam ke­adaan serba mencabar ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muslim berkata, meskipun kerja sebagai tukang kasut semakin kurang digemari khususnya dalam kalangan orang muda, namun, permintaan mem­baiki kasut masih tinggi.

“Setiap hari, ada sahaja orang datang untuk membaiki kasut. Ada yang datang untuk menukar tapak, jahit kasut yang koyak dan apa sahaja kerosakan lain. Alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh itu cukuplah untuk saya menampung kehidupan seharian.

“Harga yang dikenakan adalah serendah RM15 sehingga RM28 untuk pelbagai jenis kerosakan. Selalunya pelanggan yang datang membaiki kasut kerana sayang dengan kasut mereka yang berharga tinggi,” katanya.

Tambah bapa kepada lima orang anak itu, bidang membaiki kasut ini masih bertahan meskipun sudah tidak ramai tukang kasut di negeri ini iaitu sekitar 10 orang sahaja.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN