PUTRAJAYA : Perbincangan masih dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Pejabat Peguam Negara untuk meluluskan permohonan Bantuan Perundangan yang diminta pihak berkuasa Perancis, berhubung siasatan projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan Transit Aliran Massa (MRT).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kerajaan Malaysia belum meluluskan permohonan pihak berkuasa negara berkenaan disebabkan terdapat isu undang-undang yang perlu diteliti.
Kata beliau, selepas selesai perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara, SPRM perlu menunggu maklum balas dari Perancis mengenai maklumat yang akan ditawarkan kepada mereka.
“Setakat ini, mereka hanya memohon satu perkara iaitu mengenai penglibatan pegawai awam dan entiti negara kita yang terbabit dalam suapan melibatkan sebuah syarikat.
“Bagaimanapun, kita belum lagi memberi maklum balas kerana ia membabitkan isu penguatkuasaan undang-undang.
“Setiap siasatan di luar negara kita perlu melalui proses undang-undang. Sama ada ia perlu didedahkan atau tidak, ia bergantung kepada negara berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Anugerah Media SPRM, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tiga syarikat kejuruteraan yang disiasat dalam penipuan dan rasuah melibatkan projek KVMRT kerana dipercayai membayar RM54 juta kepada individu tertentu.
Jumlah yang dibayar adalah balasan bagi satu projek yang diterima tiga syarikat berkenaan.
Akhbar ini turut mendedahkan senarai beberapa nama individu kenamaan dan syarikat berkepentingan sudah berada dalam radar SPRM selepas didakwa menerima rasuah bagi menjayakan projek-projek awam.
Ia selepas pihak berkuasa Perancis menerima dakwaan serius membabitkan tiga syarikat kejuruteraan yang menjalankan projek KVMRT didakwa melakukan penipuan dan rasuah.
SPRM ketika ini difahamkan sedang meneliti secara menyeluruh meliputi tiga skop iaitu projek LRT di sebuah lokasi, projek MRT dan LRT3.
Ketiga-tiga projek mega itu membabitkan nilai RM30 bilion dalam tempoh sejak 2011 sehingga kini.
Projek berkenaan didakwa dilaksanakan oleh sebuah syarikat di negara ini yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis yang terkenal dengan kes-kes penipuan dengan memalsukan ujian keselamatan dan kualiti yang dilaksanakan.
Sumber itu menjelaskan, salah satu daripadanya adalah syarikat senarai awam di Perancis yang memulakan projek infrastruktur mega di beberapa negara termasuk lebuh raya, lapangan terbang dan perumahan.
Sementara itu, Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dalam kenyataan memberi jaminan akan bekerjasama dengan SPRM bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dakwaan rasuah tersebut.
Di Putrajaya, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau sudah membaca laporan oleh pengendali KVMRT, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berhubung isu itu pada Mac lalu.
Beliau bersedia membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek KVMRT)yang disiasat pihak berkuasa Perancis. –UTUSAN ONLINE










