GEORGETOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin di kawasan Utara tanah air selepas menahan tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 53 tahun dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) dan Kuala Kurau, Perak, Rabu lalu.
Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 9.03 kilogram bernilai RM120,000 yang dijumpai di dalam kereta jenis Volkswagen Passat yang dipandu suspek berusia 36 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, polis mengekori kenderaan yang dipandu suspek di Jalan Besar Nibong Tebal dekat sini, namun suspek cuba meloloskan diri selepas polis meminta suspek memberhentikan kenderaan.
”Polis mengejar kenderaan suspek sejauh 200 meter dan kemudian bertindak mengepung kereta suspek.
“Selepas itu, kereta suspek terbabas ke kiri jalan dan polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 3.50 petang. Di dalam kereta ini, polis menjumpai dadah jenis heroin 9.03 kilogram yang dipercayai untuk diedar kepada pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
NELAYAN
Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama yang bekerja sebagai nelayan itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Kuala Kurau, Perak serta menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penternak ikan berusia 53 tahun kira-kira pukul 4.45 petang.
“Pada 10.45 malam kemudian, seorang lagi suspek yang merupakan nelayan berusia 34 tahun ditahan di tempat bebas di Nibong Tebal, dekat sini,” katanya.
Mohd. Shukhairy berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal Januari tahun ini dan mengedar dadah untuk bekalan di kawasan SPS dan Kuala Kurau.
”Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 45,000 penagih dadah.
“Saringan awal polis terhadap tiga suspek tersebut mendapati ketiga-tiganya positif dadah jenis methapetamine dan kesemua suspek mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta jenayah,” katanya.
Tambahnya, selain rampasan dadah polis turut menyita aset sindiket terdiri daripada wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 16 Jun hingga 22 Jun.
”Tindakan juga diambil terhadap dua lagi suspek di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya. – UTUSAN










