PETALING JAYA: Zon persisiran pantai adalah antara kawasan yang menerima impak perubahan iklim yang paling ketara, terutamanya kenaikan paras air laut yang memberikan ancaman serius kepada habitat dan komuniti pesisir pantai.
Ini termasuk pembanjiran dan hakisan pantai yang dijangka menjejaskan kehidupan 4.11 juta orang penduduk.
Dianggarkan 426km (11 peratus) daripada 3,853km panjang pantai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan mengalami hakisan atau terdedah dengan bencana.
Dengan kenaikan paras air laut sehingga 0.5m menjelang 2100, dijangka sebanyak 33,562 hektar kawasan pembangunan bakal terjejas (termasuk lima lapangan terbang dan lapan pelabuhan utama) serta 123,057 hektar kawasan pembangunan berdepan dengan risiko tsunami.
Sehubungan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, suatu pelan induk khusus bagi memberi panduan pembangunan di zon persisiran
pantai negara telah disediakan oleh PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) iaitu Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara (RPP).
“RPP-1 telah disediakan pada tahun 2012 dan merupakan suatu kajian terhadap risiko bencana banjir, hakisan pantai dan pemetaan kawasan sensitif alam sekitar yang memberi penumpuan kepada kawasan-kawasan persisiran pantai yang belum mempunyai Pelan Pengurusan Persisiran Pantai Bersepadu (ISMP).
“Semua perkara ini telah diselaras dan diintegrasikan semula dalam Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 atau RPP-2 ,” katanya.
Reezal Merican berkata, RPP-2 memberikan tumpuan kepada aspek perancangan risiko geobencana, ciri fizikal muka bumi, aset biodiversiti dan aktiviti sosio-ekonomi bagi
kawasan persisiran pantai.
“Secara indikatif, zon persisiran pantai meliputi kawasan sejauh 5km ke arah darat dan tiga batu nautika ke arah laut dari zon pasang surut yang turut merangkumi kawasan persisiran pantai di pulau pembangunan, pulau peranginan, serta pulau taman laut.
“Tempoh perancangan yang telah ditetapkan untuk RPP-2 ini adalah sehingga tahun 2040,” katanya.
Katanya, fungsi RPP-2 adalah mengenal pasti sesuatu projek bagi memperkukuhkan ketahanan kawasan persisiran pantai, menyokong pelaksanaan dokumen rancangan pemajuan
seperti rancangan struktur dan rancangan tempatan, membantu pihak berkuasa negeri dan tempatan dalam mengawal impak pembangunan dan geobencana serta mengukuhkan tindakan
pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.
“RPP-2 menggariskan program pelan komuniti bagi meningkatkan kesiapsiagaan mendepani risiko bencana persisiran pantai di samping melahirkan komuniti yang peka
dalam konservasi alam sekitar,” kata Reezal Merican.
Sementara itu Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Dr. Alias Rameli berkata, dokumen ini juga turut menghasilkan Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai atau Coastal Vulnerability Index (CVI) berdasarkan sumber data sekunder pihak jabatan atau agensi yang berkepentingan seperti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan
lain-lain lagi.
Katanya, terdapat tiga komponen CVI bagi RPP-2 iaitu CVI Fizikal yang diwakili oleh tujuh parameter antaranya, geomorfologi, hakisan, kenaikan paras air laut dan risiko tsunami.
“Komponen kedua ialah CVI Biodiversiti yang terdiri daripada parameter biodiversiti marin dan komponen terakhir ialah CVI Sosio-Ekonomi yang diwakili oleh tujuh parameter antaranya jumlah penduduk, kemudahan dan institusi, infrastruktur, kawasan pertanian,warisan dan pelancongan.
“Selanjutnya, tiga komponen CVI ini telah digabungkan bagi penghasilan satu ukuran komposit iaitu, Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai Negara atau National Coastal Vulnerability Index (NCVI)
yang akan menentukan tahap risiko bencana kawasan persisiran pantai,” katanya.
RPP-2 juga kata beliau, telah telah menggariskan empat teras utama iaitu pembangunan berdaya tahan terhadap risiko bencana, aset ekologi dan perkhidmatan ekosistem lestari, tadbir urus kukuh dan efektif serta komuniti peka dan berupaya ikhtiar.
“Empat teras utama ini diperincikan kepada 16 strategi dan 34 tindakan utama serta 82 inisiatif yang mencadangkan pelbagai projek atau program yang boleh dilaksanakan di pelbagai peringkat;
agensi persekutuan, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya. –UTUSAN










