Pengguna LRT Kelana Jaya terpaksa lalui kelewatan sehingga November - Utusan Malaysia

Pengguna LRT Kelana Jaya terpaksa lalui kelewatan sehingga November

WEE Ka Siong bercakap pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Transit Aliran Masa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini, hari ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Para pengguna transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya perlu bersabar kerana proses membaik pulih dan menyelenggara tren yang menjejaskan waktu ketibaan dijangka siap secara berperingkat sehingga November ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sepanjang tempoh tersebut, tempoh frekuensi menunggu LRT telah bertambah daripada tiga minit kepada lima minit dan kini lapan minit sekali gus menimbulkan kesesakan seperti mana berlaku kebelakangan ini.

“Jadi, kita memohon maaf kepada pengguna kerana ini merupakan faktor yang tidak boleh dielakkan, soal keselamatan merupakan keutamaan kita. Kalau masih gunakan, kita tidak mahu risiko tidak diingini berlaku.

“Maka, kita meletakkan dua tempoh iaitu bulan Ogos iaitu mengurangkan frekuensi kepada lima minit dan sepenuhnya pada November (tiga minit) untuk menggantikan semua alat. Seperti sedia maklum, bahawa ada sedikit kekangan dan memerlukan masa menghantar alat ganti. 

“Sebab itu kita terpaksa berdepan situasi ini, ada kesulitan kepada penumpang khususnya empat stesen iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni dan KL Sentral,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai rungutan orang ramai khususnya warga kota yang mengalami kesesakan pengangkutan LRT ketika waktu puncak sejak kebelakangan ini.

Ka Siong menambah, pihak Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk menuju ke destinasi dituju.

“Oleh itu, saya minta orang awam untuk bersabar sedikit dalam beberapa bulan ini kerana terpaksa buat pembaikan,” katanya.

Mengenai aduan kelewatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM), Ka Siong berkata, waktu menunggu komuter dijangka selesai setelah projek menaiktaraf Landasan Berkembar Elektrik fasa satu siap sepenuhnya manakala proses kini siap sebanyak 92 peratus.

Katanya, kerja naik taraf itu dijangka memendekkan waktu menunggu termasuk frekuensi perkhidmatan antara dua kereta api untuk disingkatkan daripada 60 minit kepada 30 minit.

“Jika siapnya projek naik taraf dan penyelenggaran ini, maka akan berlaku integrasi perkhidmatan pengangkutan di Lembah Klang. Saya faham berlaku kelewatan disebabkan intergrasi tidak berjalan seiring kerana masalah ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya