SHAH ALAM: Masalah penglihatan yang dihadapi tidak menghalang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada peroleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang diperolehi hari ini.
Nurathirah Sofiya Syahrul Azhar, 18, yang mengalami masalah glaukoma pada mata kanan memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan walaupun akui mengalami kesukaran untuk membaca.
Menurutnya, bagaimanapun kekurangan itu tidak menjadi masalah besar baginya kerana masih lagi boleh melihat dan membaca dengan menggunakan mata sebelah kiri.
“Alah bisa tegal biasa, saya sudah biasa membaca walaupun mata sebelah kanan tidak berfungsi. Justeru saya sedar, kekurangan itu patut menjadi pembakar semangat untuk belajar.
“Malah dengan kekurangan itu saya dapat memotivasikan diri walaupun belajar sendirian di rumah memberi tumpuan dalam mengulangkaji pelajaran,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 itu, hari ini.
Nurathirah Sofiya merupakan antara calon SPM 2021 yang cemerlang dalam kalangan pelajar berkeperluan khas di negeri ini.
Mengulas mengenai petua mengulangkaji yang khusus Nurathirah Sofiya berkata, kadang-kadang dia menggunakan kanta pembesar untuk membaca tulisan yang kecil.
Anak kepada pasangan Perunding Kewangan, Syahrul Azhar Mahmood, 48, dan Tutor Kolej INTEC, Juhaidah Ishak, 43, berkata, beliau mengamalkan pembacaan Surah At Taubah Ayat 129 sebelum tidur setiap malam.
Sementara itu Syahrul Azhar yang turut menghadapi masalah glaukoma di kedua-dua matanya berkata, Nurathirah Sofiya merupakan anak kedua daripada tiga adik beradik telah mengalami masalah penglihatan sejak dilahirkan.
“Kejayaannya amat membanggakan kami sekeluarga. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru yang mendidiknya hingga cemerlang dalam SPM 2021,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










