Lega Kementerian Pendidikan tambah bilangan warden asrama

Lega Kementerian Pendidikan tambah bilangan warden asrama

Guru panitia terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ekoran peruntukan bantuan geran perkapita mata pelajaran dikurangkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kementerian Pendidikan untuk menambah bilangan warden di asrama-asrama sekolah seluruh negara disambut baik oleh warga guru yang terlibat.

Mereka berharap langkah yang dinanti-nantikan itu akan menjadikan tugas menyelia pelajar-pelajar di asrama dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor, Nursuhadah Mohamad Ramdzan berkata, langkah menambah bilangan warden asrama itu amat dialu-alukan kerana beban tugas warden sedia ada semakin bertambah.

Katanya, warden bukan sahaja terpaksa membahagikan masa di antara tuntutan mengajar subjek akademik di sekolah tetapi juga harus fokus kepada tanggungjawab sebagai warden.

Hal ini, katanya, memberi kesan kepada fokus para warden untuk memantau dan menyelia pelajar di asrama, tambahan pula masih perlu menggalas tanggungjawab lain di sekolah seperti menguruskan kelab dan persatuan.

KELONGGARAN

Katanya, walaupun warden asrama diberikan beberapa kelonggaran tetapi penambahan jumlah warden tentunya akan membolehkan mereka memberikan kualiti tugas yang yang lebih baik kepada sekolah dan para pelajar khususnya.

Beliau yang sudah enam tahun bertugas sebagai warden dan dua tahun lagi sebagai ketua warden berkata, penambahan warden juga akan membolehkan tugas dibahagi-bahagikan dalam kalangan lebih ramai guru.

“Ini supaya para warden tidak dibebani tugasan yang terlalu berat, sehingga boleh menjejaskan penyeliaan dan pemantauan ke atas pelajar asrama yang di bawah tanggungjawab mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jumaat lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan kenaikan elaun bulanan sebanyak 25 peratus bagi warden asrama di sekolah berasrama bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, kenaikan itu menjadikan kadar baharu elaun bagi ketua warden ialah RM350 manakala RM300 untuk warden.

Nursuhadah berharap lantikan baharu warden nanti akan diambil dalam kalangan guru-guru di sekolah masing-masing.

Hal ini, katanya kerana guru-guru di sekolah lebih memahami ragam dan permasalahan para pelajar asramanya, dan menjadi lebih mudah untuk menguruskan pelajar-pelajar tersebut.

“Secara asasnya, seseorang guru itu lebih memahami perangai dan ragam para pelajar di asramanya. Jadi dengan itu, lebih mudah memantau dan menyelia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN