KUANTAN: “Saya tidak anggap belajar di rumah sebagai halangan besar buat saya menumpukan pelajaran bagi berdepan dengan peperiksaan.”
Demikian ujar, Umar Abdul Majid, 18, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh 11A dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini.
Menurutnya, berdepan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 melanda tidak menjadi penghalang baginya untuk memberi fokus kepada peperiksaan penting itu.
Bagi Nur Arisha Amyrul Naim, 18, yang memperoleh 9A, sokongan dan dorongan ibu bapa serta guru menjadi pemangkin kepada kejayaannya.
“Saya berterima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memastikan saya dapat mengulangkaji pelajaran dengan selesa ketika terpaksa berdepan proses PdPR,” katanya.
Pelajar cemerlang negeri Terengganu, Muhammad Imran Mohd. Ropidi, 18, dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang memperoleh keputusan 12A+ berkata, dia tidak terkecuali turut tertekan sepanjang Covid-19 sehingga hampir berputus asa di separuh jalan.
“Namun hasil sokongan keluarga serta dedikasi guru-guru, semangat kami kembali pulih untuk meneruskan perjuangan dan saya bersyukur meraih keputusan 12A+ hari ini,” katanya.
Sementara itu bagi Nurul Nadhirah Husna Shahmuzir, 18, yang mendapat keputusan 10A+ berkata, sikap tidak kedekut ilmu menjadi antara resepi kejayaannya hari ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di sini berkata, dia gembira sering menjadi rujukan rakan-rakan setiap kali mengulang kaji pelajaran.
“Melalui cara itu saya lebih memahami subjek yang dipelajari selain menggambarkan ciri-ciri saya yang mahu bergelar pensyarah dalam bidang Bahasa Arab satu hari nanti.
“Sepanjang sesi pembelajaran, saya akan segera bertanyakan kepada guru jika tidak faham sesuatu subjek sebelum memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang lain,” katanya. – UTUSAN










