IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa selepas satu laporan polis dibuat oleh Perak Corporation Berhad (PCB) terhadapnya, Jumaat lalu.
Zhemin, yang juga bekas pengarah PCB berkata, laporan polis yang dibuat PCB terhadap dirinya merupakan tindak balas selepas dia membuat satu laporan polis terhadap anak syarikat milik kerajaan Perak itu pada Khamis lalu di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Zhemin membuat laporan polis terhadap PCB susulan dakwaan wujud penipuan dalam skim penyusunan untuk pemiutang membabitkan aset kepunyaan syarikat itu.
Menurut Zhemin, bagaimanapun pihak PCB gagal mengemukakan sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan beliau dan menyifatkan tindakan berkenaan sekadar untuk menakut-nakutkan beliau.
“Saya lihat tindakan PCB ini sebagai usaha menakut-nakutkan serta menyerang saya yang bersuara untuk melindungi kepentingan awam dan negeri.
“Oleh itu, saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis selain memberi semua maklumat yang saya ada,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Balai Polis Sungai Senam, di sini, hari ini.
Beliau turut percaya pihak polis akan menyiasat kes tersebut secara profesional dan saksama.
Zhemin turut mendesak polis menjalankan siasatan terhadap PCB di bawah Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) Seksyen 421 iaitu ‘pembuangan atau penyembunyian harta secara tidak jujur atau curang untuk mengelakkan pengagihan di kalangan pemiutang.’
Terdahulu, Zhemin membuat laporan polis terhadap PCB berkaitan dakwaan wujud penipuan dalam skim penyusunan untuk pemiutang membabitkan aset kepunyaan syarikat itu.
ADUN DAP itu mendakwa PCB tidak menyenaraikan jumlah sebenar asetnya ketika memfailkan tindakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Julai 2020.
PCB kemudiannya menafikan dakwaan jenayah komersial yang dilaporkan Zhemin dan membuat satu laporan polis terhadap beliau. – UTUSAN