KUALA LUMPUR: Usaha menghimpunkan kesemua parti politik untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diramal gagal mencapai matlamat, sebaliknya dijangka mengundang saingan sehingga tujuh penjuru.
Ini ekoran apabila terdapat pemimpin dalam PH menolak idea berkenaan selain parti-parti di luar gabungan termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Perikatan Nasional (PN) serta Bebas masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berada di bawah khemah besar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, setakat ini, formula khemah besar dilihat masih kabur meskipun PH dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu meneruskannya.
Pensyarah Kanan Sains Politik itu berkata, hal tersebut melainkan terdapat iltizam daripada kesemua parti politik mengetepikan perbezaan dan berdamai sebagai pakatan pembangkang kuat bagi memastikan BN-UMNO tidak menjadi Kerajaan Persekutuan.
“Pembangkang kalau bergabung pun masih perlu fikirkan naratif kuat, bukan sahaja untuk menyaingi BN tetapi kembali meyakinkan rakyat seperti pilihan raya umum lalu yang bagi saya lagi sukar berbanding mahu bergabung semata-mata.
“Maka, pakatan ini mungkin menjadikan peluang BN-UMNO untuk menang sukar kalau satu lawan satu berbanding lawan beberapa penjuru seperti mana pada pilihan raya negeri Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak sebelum ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mujibu berkata, pakatan membentuk kerajaan adalah mudah dan boleh dilakukan, namun, persoalan utama jika sesuatu parti boleh menang sebanyak mana kerusi Parlimen pada pilihan raya nanti.
“Kalau bertanding tetapi tidak menang kerusi pun memang susah mahu bentuk kerjasama dan seterusnya membentuk kerajaan tidak kira stabil atau tidak. Sebab isunya, kerusi ini tidak akan mampu membentuk jumlah majoriti diperlukan.
“Oleh itu, mana-mana parti kena fikir untuk menang kerusi tidak kira apa strateginya sama ada membentuk pakatan atau secara solo sebab kerusi dimenangi sangat penting dalam menentukan kepentingan parti itu menjadi pembuat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kepimpinan PH supaya tidak terus menutup ruang perbincangan dengan parti pembangkang, termasuk Bersatu dan Pas di blok kerajaan.
Timbalan Presiden PKR baharu, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, pendekatan khemah besar ibarat mencari ‘khemah baharu’ dan bukannya menyelesaikan masalah sedia ada.
Senada dengan beliau, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg yang tidak melihat wujud petunjuk signifikan khemah besar dalam pilihan raya umum tidak lama lagi, malah, kemungkinan wujud gabungan longgar kerana tiada parti diyakini memperoleh sokongan majoriti kukuh di Dewan Rakyat.
Beliau meramalkan, kemungkinan berlaku persaingan sekurang-kurangnya lima penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen di seluruh negara disebabkan kegagalan membentuk khemah besar.
“Jika ahli politik tidak lari daripada sikap pentingkan diri dan kuasa bukannya rakyat, maka gabungan dibentuk sama ada sebelum atau selepas pilihan raya pun masih tidak mampu menstabilkan politik negara.
“Akhirnya, tiada manfaat akan diperoleh dan negara akan rugi. Semakin ramai ahli politik mengatakan tiada yang muktamad dalam politik, kawan boleh jadi lawan dan sebaliknya sekelip mata. Ideologi begini merosakkan politik negara dan wajar untuk rakyat menolak mereka yang berpegang dengan ideologi ini,” katanya. – UTUSAN










