Tidak bertanding keputusan muktamad, tiada pusingan U - Utusan Malaysia

Tidak bertanding keputusan muktamad, tiada pusingan U

MOHAMED NAZRI AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun dilihat amat berpengaruh dan menjadi kekuatan parti politik masing-masing, ahli Parlimen yang mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan membuat pusingan U berhubung keputusan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Padang Rengas dari UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, 68, berkata, enam kali memenangi kawasan itu sudah cukup untuk beliau dan tiba masanya kerusi berkenaan diserahkan kepada orang lain.

“Zaman seangkatan saya sudah berakhir dengan naiknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Jadi, apa yang saya sebut sebelum ini, tiada perubahan lagi dan saya sudah fikir masak-masak.

“Namun, saya tetap memberi sokongan selagi boleh dan apabila ahli UMNO kembali menjadi Perdana Menteri, itu sudah menjadi kelegaan untuk saya.

“Dengan persaraan saya, tidak bermakna saya terus berhenti memberikan pandangan. Walaupun bukan ahli Majlis Tertinggi (MT), saya akan terus bersuara selagi yang saya sebut ini masuk akal, mempengaruhi Kabinet untuk buat seperti disarankan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr. Ong Kian Ming, 47, juga tidak akan mengubah keputusan pada saat akhir untuk mengekalkan kerusi yang telah disandang selama dua penggal pilihan raya.

Ditanya sama ada keputusan berkenaan benar-benar dipertimbang ketika beliau dilihat sebagai ‘orang kuat’ DAP, kata Kian Ming, beliau yakin bakal penggantinya mempunyai kelayakan sama.

“Keputusan saya sudah muktamad sejak saya memaklumkannya sebelum ini. Saya sudah kenal pasti calon muda Melayu yang akan menggantikan saya di Bangi, dan saya harap, pucuk pimpinan parti akan terima.

“Saya yakin, calon ini boleh membawa sumbangan dan menunjukkan kewibawaannya dengan cara tersendiri bukan sahaja untuk rakyat di Bangi tetapi untuk seluruh parti,” katanya.

Terkini, Ahli Parlimen Kuala Selangor dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang dan menyifatkan tempoh dua penggal di kawasan itu sudah memadai.

Antara ahli Parlimen lain memutuskan tidak mempertahankan kerusi termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 97, (Pejuang); Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, 81, (DAP); Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, 56, (UMNO); Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, 74, (UMNO).

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, 85, (UMNO) pula masih berteka-teki sama ada mahu menjadi calon atau menarik diri daripada pilihan raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dilaporkan mungkin tidak bertanding di kawasannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN