Kekayaan 50 individu terkaya Malaysia menurun - Utusan Malaysia

Kekayaan 50 individu terkaya Malaysia menurun

ROBERT KUOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Jumlah kekayaan 50 individu paling kaya Malaysia 2022 oleh Forbes jatuh 10 peratus kepada AS$80.5 bilion (RM355 bilion) berbanding setahun lalu.

Forbes Asia berkata, ekonomi Malaysia berkembang lima peratus pada suku pertama 2022 sebahagiannya dirangsang pemulihan dalam permintaan domestik sekali gus dapat mengimbangi kesan pandemik selain banjir kilat pada Disember lalu.

“Walaupun pasaran saham susut sedikit dalam tempoh 12 bulan lalu, turun naik mata wang menyaksikan ringgit jatuh enam peratus,” katanya yang memaklumkan secara keseluruhan kekayaan 30 bilionair dalam senarai terbaharu itu merosot.

Senarai lengkap boleh didapati di www.forbes.com/malaysia dan juga dalam edisi Jun Forbes Asia.

Mendahului senarai, pengasas Kuok Group, Tan Sri Robert Kuok atau jolokan Raja Gula yang masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di negara ini walaupun kekayaannya merosot kepada RM48 bilion daripada RM53.6 bilion tahun lalu.

Seterusnya, Pengerusi Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan selaku hartawan yang masih mencatatkan pertambahan nilai kekayaan terbesar dan mengukuhkan kedudukannya sebagai individu kedua paling kaya di Malaysia dengan RM44.4 bilion tambahan RM2.2 bilion daripada RM42.2 bilion tahun lalu.

Tan Sri Koon Poh Keong dan adik beradiknya yang mengawal syarikat aluminium Press Metal Bhd kekal di tempat ketiga dengan RM27.2 bilion, hampir tidak berubah daripada setahun lalu.

Melengkapkan senarai lima individu paling kaya ialah Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai kekayaan RM25 bilion dan Ananda Krishnan yang mempunyai kepentingan dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd serta penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd dengan RM22 bilion.

Sementara itu, penyenaraian pengeluar tenusu, Farm Fresh Bhd. membolehkan Loi Tuan Ee yang berkongsi nilai kekayaan RM1.67 bilion bersama dua adik beradiknya, menembusi senarai individu paling kaya di Malaysia buat kali pertama apabila diasaskan oleh Tuan Ee dan Tuan Kin bermula pada 2007 sebelum mendapat sokongan daripada dana pelaburan kekayaan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd. dengan mempunyai lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia.

Forbes Asia berkata, senarai itu dikumpul menggunakan maklumat pegangan saham dan kewangan diperoleh daripada keluarga dan individu, bursa saham, laporan tahunan dan penganalisis dengan kedudukan itu menyenaraikan kekayaan individu dan keluarga termasuk yang dikongsi bersama saudara-mara serta syarikat swasta dinilai berdasarkan syarikat sama yang didagangkan secara terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×