Kehilangan masih jadi tanda tanya - Utusan Malaysia

Kehilangan masih jadi tanda tanya

ZAKIAH (tengah) bersama emaknya, Mesah Dollah, 78,, dan abangnya Ramli, 57, melihat gambar Mohd. Rafi di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu.-FOTO /UTUSAN ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hilang yang kekal menjadi tanda tanya.

Itulah yang dialami Muhamad Najib Wan Husin, 31, dan Zakiah Omar, 52, apabila insan tersayang dalam keluarga mereka dikhuatiri lemas dan hilang di perairan Kuala Besar dan Pantai Sabak pada 2017 dan tahun lalu.

Mereka ialah Wan Husin Wan Abdullah dan Mohd. Rafi Omar yang ditimpa musibah ketika keluar menangkap ikan gagal ditemukan sehingga ke hari ini.

Apa yang pasti mereka reda dengan ketentuan dan kehendak Ilahi berhubung kejadian itu.

Malah selepas tragedi itu, keluarga mereka kerap bermimpi dengan kehadiran mangsa
dan seolah-olah pulang (singgah) berjumpa keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Muhamad Najib berkata, peristiwa yang menimpa ayah, Wan Husin Wan Abdullah sukar diterima di saat kejadian awal berlaku pada November 2017.

Mengimbau kembali, menurutnya ketika itu keluarga sentiasa mengharapkan arwah ayah atau lebih dikenali Cikgu Husin akan ditemui selamat walaupun misi pencarian dihentikan selepas beberapa minggu kemudian.

“Kami sekeluarga tidak putus berdoa dengan harapan ayah akan ditemui selepas itu sama ada masih hidup atau meninggal dunia.

“Begitu juga selama dua tahun saya bersama lima beradik akan berjalan kaki sejauh lima kilometer (km) dari Pantai Mek Mas hingga ke Pantai Kundor di sini setiap hari pada waktu petang untuk melihat kawasan pesisir pantai seolah-olah ayah ada di situ.

“Walaupun tiada jasad ayah ditemui dan tanpa pusara, keluarga mendoakannya supaya sentiasa tenang dan berharap dapat berjumpanya di akhirat nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Pisang, di sini.

Wan Muhamad Najib berkata, arwah ayah ke laut adalah kerana hobinya selain mengisi masa lapang selepas bersara daripada guru.

Tragedi itu turut menimpa seorang lagi mangsa Mohd. Rafi Omar, yang juga nelayan turun ke laut pada Ogos tahun lalu ketika keluar menangkap ikan seorang diri di perairan Pantai Sabak, masih belum ditemui sehingga kini.

Kakak mangsa Zakiah berkata, kejadian menimpa adik bongsu daripada tujuh beradik itu menganggap Mohd. Rafi masih hidup.

“Kami sekeluarga pernah berikhtiar secara kampung dan berjumpa orang-orang tertentu mengatakan benda yang sama.

“ Saya bukan hendak percaya tetapi naluri dan firasat bahawa Mohd. Rafi masih ada lagi dunia ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini.

Menurutnya, keluarga juga sentiasa mendoakan supaya Allah S.W.T permudahkan urusan Mohd. Rafi walaupun di mana berada. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN