Masjid hidup tanpa kariah

Masjid hidup tanpa kariah

MASJID Jamek Haji Wahab (Simpang Enam) yang dibina sejak 1897 terletak di tengah kepesatan George Town, Pulau Pinang terus menjadi menjadi pusat ibadah dan komuniti meskipun tidak mempunyai kariah tetap.-MINGGUAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang khususnya George Town sememangnya dikenali sebagai sebuah bandar raya warisan kerana memiliki banyak bangunan bersejarah tinggalan penjajah British dan sebagainya.

Selain itu, terdapat masjid-masjid lama berusia ratusan tahun yang dibina oleh pedagang Islam sebelum ini sekali gus menjadi bukti bahawa agama suci tersebut telah lama bertapak di pulau berkenaan.

Sehingga kini, rumah-rumah ibadat itu masih memainkan peranan penting dalam mengimarahkan syiar Islam walaupun ada masjid yang tidak mempunyai komuniti penduduk tetap atau lebih dikenali sebagai anak kariah.

Kebiasaannya masjid-masjid ini terletak di lokasi strategik termasuk kawasan pejabat, perdagangan atau pusat bandar dan berfungsi sebagai masjid transit untuk para pekerja, peniaga, pelancong dan juga warga asing beragama Islam yang mencari ruang ibadah di tengah-tengah kesibukan kota.

Difahamkan, sehingga kini, terdapat lapan masjid di Pulau Pinang yang diklasifikasikan sebagai masjid tanpa anak kariah atau tidak cukup anak kariah dan kesemua tersebut terletak dalam daerah Timur Laut.

Masjid itu terdiri daripada Masjid Kapitan Keling, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Masjid Jamek Jalan Hatin, Masjid Jamek Titi Papan, Masjid Jamek Benggali, Masjid Jamek Perangin, Masjid Jamek Haji Wahab (Simpang Enam) dan Masjid Jamek Bukit Bendera.

Menurut Pengerusi Persatuan Qariah-Qariah Masjid Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff,  semua masjid itu mungkin tidak mempunyai komuniti penduduk tetap, namun ia tetap memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan ibadah kepada masyarakat.

“Ketiadaan anak kariah tidak bermakna masjid itu tidak hidup. Ia tetap diimarahkan. Masih ada solat jemaah, aktiviti keagamaan dan pengurusan masjid yang tersusun,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mohd. Yussof berkata, meskipun tiada komuniti tetap, masjid-masjid ini dikendalikan oleh jawatankuasa khas yang dilantik termasuk dari segi pelantikan imam, bilal dan penyelenggara masjid serta mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Masjid Jalan Hatin, contohnya, merupakan antara masjid tertua di tengah-tengah George Town. 

“Ia terletak di kawasan pelancongan, masjid ini sering menjadi tempat singgah pelawat dan pekerja sektor perhotelan untuk menunaikan solat,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Masjid Jalan Hatin di sini.

Beliau berkata, begitu juga dengan Masjid Titi Papan yang terletak berdekatan kawasan pejabat dan institusi pendidikan berfungsi sebagai pusat ibadah utama bagi kakitangan kerajaan, pelajar dan orang awam yang berada di kawasan itu.

“Sebuah lagi masjid di sekitar pusat bandar, Masjid Jamek Simpang Enam pula menjadi pilihan utama penduduk sekitar dan pekerja di kawasan sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Chowrasta, terutama pada waktu solat Jumaat.

“Masjid-masjid ini menjadi tempat penting untuk pekerja sektor formal dan tidak formal, termasuk pekerja asing, menunaikan solat. Mereka menjadi jemaah utama di sini,” katanya.

Beliau berkata, setiap masjid ini mempunyai rekod pengurusan yang baik dan sering menerima sumbangan serta penglibatan daripada komuniti Islam yang bekerja di kawasan itu.

Di samping itu, katanya, peranan masjid tanpa anak kariah ini juga dapat dilihat dalam penganjuran kuliah, ceramah agama dan aktiviti Ramadan seperti iftar dan solat tarawih yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Kepelbagaian latar belakang jemaah menjadikan masjid-masjid ini unik kerana ia memperlihatkan kepelbagaian budaya dan bahasa, khususnya dalam kalangan pelawat dari luar negara dan komuniti Islam dari Asia Selatan serta Timur Tengah,” katanya.

Selain itu katanya, kewujudan masjid tanpa anak kariah ini turut mencerminkan kepelbagaian fungsi institusi masjid iaitu bukan sekadar pusat ibadah tempatan, tetapi juga tempat singgah rohani dalam ekosistem bandar.

“Masjid tanpa anak kariah dan masjid dengan jumlah anak kariah yang sedikit perlu terus dipelihara dan disokong kerana ia berperanan besar dalam mengukuhkan imej Islam di tengah landskap bandar Pulau Pinang.

“Ini bukti bahawa Islam itu rahmat untuk semua, di mana sahaja umatnya berada, pasti ada ruang untuk bersujud,” katanya.

Masjid 132 tahun terus diimarah walau tanpa anak kariah

Terletak di tengah kesibukan bandar raya dan dikelilingi oleh pembangunan pesat serta komuniti yang semakin berubah, Masjid Jamek Jalan Titi Papan yang dibina sejak 1893 terus berfungsi sebagai pusat ibadah dan komuniti meskipun tidak lagi mempunyai anak kariah tetap.

Masjid dua tingkat yang berkapasiti sekitar 300 jemaah itu kini tidak mempunyai anak kariah tetap susulan ramai penduduk tempatan berpindah keluar dari kawasan sekitar. 

Sebaliknya, masjid itu kini banyak menerima kehadiran warga asing termasuk dari Bangladesh yang bekerja di sekitar kawasan tersebut.

Walaupun terdapat beberapa masjid lain dalam jarak sekitar 500 meter seperti Masjid Tarik Air, keunikan Masjid Jamek Jalan Titi Papan tetap terserlah kerana sejarah panjangnya dan peranannya dalam mengekalkan syiar Islam di tengah-tengah kawasan bandar yang terus berubah.

Menurut Imam Masjid Jamek Titi Papan, Ahmad Azfar Sirajudin, 32, rumah ibadah itu tidak mempunyai anak kariah sejak mula ditubuhkan kerana tiada kawasan perumahan kekal di sekelilingnya.

“Apapun, masjid ini berfungsi seperti biasa. Dibuka penuh dari Subuh sampai Isyak, walaupun tak ada kariah tetap. Kami beroperasi sebagai masjid di bawah MAINPP,” katanya.

Dalam pada itu, siak masjid, Mohd. Yusof Mohd. Syarif, 63, berkata, ramai pekerja termasuk warga asing datang menunaikan solat setiap hari dan masjid tersebut juga penuh jemaah yang mengimarahkan terutamanya pada Ramadan.

“Masjid ini terletak di tengah bandar, senang untuk diakses. Ada pelawat yang singgah ambil gambar, ada juga terus sertai jemaah. Kami sambut semua,” katanya.

Seorang lagi jemaah tetap, Nasruddin Arshad, 55, berkata, walaupun masjid itu kurang dikunjungi penduduk tetap, suasana tenang tetap menjadi pilihan para pekerja di kawasan berdekatan.

“Saya kerja di pusat bandar sahaja. Jadi, mudah datang ketika waktu Zuhur untuk berjemaah. Di sini, hari Jumaat baru meriah sikit. 

“Suasana sekitar masjid bersih, ada pendingin hawa dan nak parkir pun senang. Memang selesa nak rehat dan bersolat,” katanya yang berasal dari Seberang Perai.

Bagi Maidin Mashood, 65, dia tetap setia bersolat di masjid itu sejak dari usia remaja walaupun kini sudah berpindah ke kawasan lain.

“Saya memang berasal dari sini. Dari kecil dah datang sini. Sekarang saya tinggal tempat lain tapi masih datang bersolat di sini sebab saya bekerja di sekitar pusat bandar. Masjid ini ada kenangan yang mendalam di hati saya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN