Jumlah pelancong Jonker Walk hanya 30 peratus - Utusan Malaysia

Jumlah pelancong Jonker Walk hanya 30 peratus

SUASANA para pelancong yang membanjiri Jonker Walk, Banda Hilir, Melaka terutama ketika waktu malam, meskipun tidak semeriah sebelum negara berdepan pandemik Covid-19. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jumlah kemasukan pelawat ke Jonker Walk, Banda Hilir di sini hanya sekitar 300,000 orang pada hujung minggu dan musim perayaan, menyebabkan kegiatan ekonomi di situ tidak serancak era sebelum pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, statistik kemasukan pelancong terkini yang merangkumi pengunjung tempatan dan antarabangsa itu hanya mewakili sebanyak 30 peratus sahaja daripada kapasiti sebenar.

Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana kerajaan, hampir satu juta pelancong direkodkan membanjiri Jonker Walk dan kawasan sekitar ketika waktu puncak.

“Hampir 95 peratus para peniaga sudah membuka kembali perniagaan mereka. Ya, aktiviti jual beli sedikit perlahan kerana meskipun sempadan negara telah dibuka, hanya kira-kira 300,000 orang sahaja datang berkunjung ke sana, tidak seperti dahulu mencecah satu juta pengunjung.

“Situasi berlaku disebabkan masih banyak negara tidak membuka pintu sempadan masing-masing, untuk rakyat mereka keluar melancong ke negara ini. Masih ada kira-kira lima peratus kedai yang masih ditutup, mereka sedang dalam proses mencari penyewa baharu,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, meskipun sudah hampir lapan bulan rentas negeri dibenarkan termasuk kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP), namun nasib peniaga di Jonker Walk tidak banyak berubah.

Tinjauan di sekitar kawasan pelancongan itu mendapati, banyak premis kekal ditutup dan beberapa lot kedai ditampal notis untuk dijual atau disewa.

Mengulas lanjut, Tian Loo berkata, pihaknya kini sedang merancang beberapa perkara baharu untuk mempercepatkan rangsangan ekonomi di kawasan itu, antaranya cadangan supaya pasar malam beroperasi setiap hari.

“Sekarang Pasar Malam Jonker Walk hanya dibuka hujung minggu iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kita sudah menghantar permohonan untuk meminta kebenaran beroperasi setiap hari. Sekarang masih menunggu kelulusan daripada pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya