STR besar makna buat golongan B40

STR besar makna buat golongan B40

TINJAUAN mendapati sebahagian penerima menerima sumbangan terus ke akaun masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga yang menerima bantuan semalam, meluahkan rasa syukur walaupun jumlah di­terima kecil namun besar makna­nya, khususnya kepada golo­ngan B40.

Tinjauan mendapati sebahagian penerima sudah menerima sumbangan terus ke akaun masing-masing manakala segelintir lain masih menunggu kemasukan wang tersebut. Ramai dilihat membuat semakan di mesin pengeluar wang automatik (ATM) di bandar ini.

Penerima, Hasan Mohd. Effendi, 41, berkata bantuan RM100 daripada kerajaan itu dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan harian keluarga.

“Mungkin bagi sesetengah orang RM100 ini tidak besar, tetapi bagi saya ia amat bermakna. Dengan tambahan ini, dapat beli lebih banyak barang dapur untuk anak-anak, yang pen­ting, perlu bijak memilih barang perlu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

STR Fasa Tiga ini diagihkan secara berperingkat kepada pe­nerima layak di seluruh negara, bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Kata Hasan, penerima sepatutnya bersyukur dan melihat bantuan tersebut dalam konteks lebih luas, khususnya jika anak-anak berumur 18 tahun ke atas turut menerima STR.

“RM100 untuk saya, anak-anak juga dapat RM100 seorang. Mereka boleh guna untuk ke­perluan sendiri seperti mengisi minyak motor. Bersyukur de­ngan apa yang ada, mungkin akan ada lagi bantuan seperti ini pada masa depan,” katanya.

Penerima, Rozy Mat Akhir, 49, yang bekerja sebagai pekerja bot sewa nelayan di Sungai Perak berkata, bantuan tersebut sangat membantu menampung kehidupannya.

“Syukur dapat beli barang dapur. Tinggal seorang jadi barang makanan yang dibeli tidak banyak, cukup untuk keperluan saya seorang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN