KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) perlu mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 pada September ini bagi menentukan kategori mereka di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Ketika ini, anak-anak buah Nafuzi Zain masih belum diletakkan bawah kategori A atau pun B pada temasya dwitahunan tersebut kerana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih perlu menilai prestasi skuad muda negara itu.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penilaian terhadap skuad Harimau Muda itu hanya akan dibuat berdasarkan prestasi mereka dalam kejohanan tersebut yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 9 September depan.
“Untuk bola sepak, kita perlu tunggu (Kelayakan Piala Asia) pada September ini bagi pasukan lelaki sebelum kita boleh tentukan mereka layak atau tidak ke kategori A,” katanya.
Sebagai rekod, penyertaan dalam kategori A membolehkan pasukan atau atlet menerima tajaan penuh daripada pihak kerajaan, manakala bagi kategori B, kos perlu ditanggung sendiri oleh persatuan sukan masing-masing.
Namun, perbelanjaan itu akan dibayar semula sekiranya mereka berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Kali terakhir skuad bola sepak negara berada dalam kategori A adalah pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.
Sekiranya saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 menjadi ukuran, tugas berat menanti anak buah Nafuzi kerana mereka bakal berdepan cabaran tuan rumah Thailand, Lubnan dan juga Mongolia.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jeffry Ngadirin berkata, peluang masih terbuka untuk skuad B-23 berada dalam kategori A, namun mereka perlu membuktikan kemampuan di pentas kelayakan itu nanti.
“Skuad bola sepak B-23 ada ruang (untuk disenaraikan dalam kategori A) jika mereka layak ke pusingan seterusnya Piala Asia AFC B-23 pada bulan september ini,
“Kalau mereka layak dan di kedudukan keempat terbaik Asia Tenggara, automatik layak kategori A. Bagi pasukan bola sepak wanita pula itu kena tanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.
Untuk rekod, hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 7 hingga 25 Jan tahun depan. – UTUSAN









