Jual data: Laman web disekat

Jual data: ISP diarah sekat laman web

ANNUAR Musa menyampaikan ucapan pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pembekal perkhidmatan Internet (ISP) diarah menyekat sebuah laman web sumber terbuka bagi menghalang urusan jual beli data di laman web tersebut yang menimbulkan keresahan dan kebimbangan orang ramai. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) menyiasat kandungan dan latar belakang laman web yang berkaitan pada Ahad lalu.

“Tindakan untuk menurunkan laman web itu telah dilakukan sekitar pukul 6.30 petang, hari yang sama. Pada waktu sama, siasatan lanjut dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), JPDP, CSM, SKMM, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia. 

“Kementerian melalui JPDP dengan kerjasama SKMM dan CSM akan terus memantau dan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial agar sentiasa menepati prinsip-prinsip di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

KESELAMATAN

Tambah Annuar, keselamatan data peribadi milik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamatannya oleh agensi kerajaan berkaitan dan NACSA serta dinasihatkan untuk mengaplikasikan tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709 sebagai garis panduan atau amalan terbaik supaya keselamatan data peribadi rakyat sentiasa terjaga.

Jelas beliau, mengikut Seksyen 130, Akta 709, kesalahan berhubung penjualan data peribadi boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha membendung kes kebocoran, penyalahgunaan atau penjualan data peribadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

PEMETAAN

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 kementerian itu di sini hari ini, Annuar berkata, SKMM diarah melakukan pemetaan dan pelaporan audit yang jelas berhubung mutu perkhidmatan capaian internet di seluruh negara.

Katanya, hasil dapatan itu nanti akan dibandingkan dengan apa yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi (telco) memandangkan rakyat masih mengeluh mengenai capaian internet.

Beliau juga meminta syarikat telco di negara ini untuk melabur semula dan menaik taraf peralatan di menara telekomunikasi sedia ada dengan tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Menurut beliau, syarikat telco juga perlu lebih serius dalam memenuhi keperluan pengguna selain bersama-sama membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Saya bukan anti keuntungan, tidak mengapalah untung tapi tolong labur balik baiki masalah rakyat di kampung yang panjat pokok dan panjat gunung (untuk dapat capaian internet). Jadi saya hendak cari siapa untuk betulkan masalah rakyat,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN