Jenazah Arshad Ayub dikebumi di Makam Diraja Shah Alam - Utusan Malaysia

Jenazah Arshad Ayub dikebumi di Makam Diraja Shah Alam

ARSHAD AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jenazah Tokoh Pendidikan Negara, Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub disempurnakan di Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya hari ini sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

Menurut anak lelaki Allahyarham, Azmi Arshad, jenazah allahyarham juga disolatkan di masjid sama selepas Solat Zohor selepas dibawa keluar dari Hospital Pakar KPJ Damansara pukul 12 tengah hari tadi.

“Jenazah dijangka bertolak dari KPJ Damansara Specialist Hospital ke Masjid Kolej Islam Malaya, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, Seksyen 46350 Petaling Jaya untuk solat jenazah.

Solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zohor.

“Jenazah akan bertolak ke Makam Diraja Shah Alam untuk pengebumian seterusnya Insha-Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.06 pagi tadi selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan sejak Selasa lalu.

Sementara itu, UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor dan seluruh warga universiti itu menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham atas pemergian Tun Arshad Ayub, iaitu seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada pendidikan negara.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor dan seluruh warga UiTM turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian Allahyarham seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada pendidikan negara.

“Salam takziah kepada isteri Allahyarham Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan keluarga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh”, ujarnya.

Arshad, 93, adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975 sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM.

Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun.

Sebagai Tokoh Pendidikan Negara, Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan terutama dalam kalangan Bumiputera termasuk mengkritik kualiti lebih 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai standard diharapkan.

Malah, dalam laporan Utusan Malaysia sebelum ini, Arshad juga pernah mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah untuk mengajar secara sambilan di universiti-universiti tempatan supaya dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada industri. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN