PUTRAJAYA: Penahanan tujuh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin adalah hasil perkongsian maklumat antara jabatan itu dengan agensi berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua pegawai itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur serta dituduh melindungi warga asing.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan dan ia akan dilaksanakan secara profesional.
“Kami tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperoleh wang secara mudah.
“Kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Sebelum ini, tujuh anggota penguat kuasa JIM adalah antara sembilan individu ditahan di Sarawak dan Selangor bagi membantu kes rasuah bernilai RM500,000 semalam.
Kesemua suspek ditahan reman antara lima hingga tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan berlaku antara 2019 hingga 2021.
Antara ditahan termasuk enam pegawai penguat kuasa terbabit iaitu seorang pegawai kanan dan seorang warga asing, manakala seorang lagi ditahan bersama seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat di Selangor. – UTUSAN











