fbpx

Dua lelaki diserang kerana berebut parkir

tahanan

PETALING JAYA: Gara-gara berebut parkir, dua lelaki cedera diserang tiga beranak di hadapan sebuah premis di Jalan Damansara Utama di sini semalam.

Dalam Kejadian pukul 1.10 tengah hari, lelaki berusia 26 tahun yang juga pemilik premis berkenaan bersama rakannya cedera ringan di tangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diserang dua lelaki dan seorang wanita tempatan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila pengadu meletakkan kereta Toyota Vios di lot parkir di hadapan kedainya, namun, tiba-tiba, seorang lelaki menjerit memanggilnya serta turun dari kedai.

“Kemudian berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Isteri lelaki itu kemudian memarahi dan membaling telur ke arah mangsa serta rakannya. Selepas itu, datang pula anak lelaki pasangan terbabit memarahi mangsa dan rakannya sambil memegang tukul besi serta mengugut untuk merosakkan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, berlaku pergelutan antara kelima-lima individu menyebabkan mangsa dan rakan mengalami kecederaan.

Ujarnya, ketika pergelutan berlaku, anak pasangan terbabit yang berusia 31 tahun turut memegang pisau pemotong daging dan alat pemadam api.

“Susulan itu, kita menahan lelaki itu di hadapan premis di Jalan Damansara Utama pada pukul 4.30 petang.

“Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan perebutan lot parkir,” katanya. 

Mohamad Fakhrudin berkata, polis turut merampas tukul besi, pisau dan alat pemadam api yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Jelasnya, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!