PETALING JAYA: Penumpang yang dikenakan tambang perkhidmatan e-hailing yang tinggi perlu tampil membuat aduan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama bukti supaya siasatan dapat dilakukan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jika ada aduan, kerajaan sedia menyiasat sehingga ke lubang cacing berhubung dakwaan kenaikan tambang sehingga 400 peratus.
“Dia (APAD) mesti dapat maklumat daripada pengadu yang merupakan mangsa (dan) kita akan siasat sampai lubang cacing, tetapi kalau tak bagi contoh atau bukti, maka macam mana nak siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut beliau, siasatan terhadap kenaikan tambang itu perlu berkisarkan data saintifik dan bukannya sekadar laporan daripada media tempatan.
“Kita kena buat satu perkara dengan secara lebih berhati-hati sebab perkhidmatan e-hailing ada rekod dan semuanya jelas.
“Sebab itu siasatan perlu merangkumi di mana asas aduan, berdasarkan siapa pengadu dan maklumat apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, tambang perkhidmatan e-hailing didakwa meningkat sehingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati penumpang yang disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan berkaitan kawal selia harga tambang itu.
Susulan kenaikan itu, Ka Siong dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, APAD sedang melakukan siasatan sekiranya wujud pelanggaran surcaj tambang kepada penumpang.
Beliau dilapor berkata, mengikut dasar sebelum ini, pengendali e-hailing diberi kelonggaran mengenakan surcaj maksimum sehingga 200 peratus daripada tambang asas.
“APAD sedang melakukan siasatan mengenai perkara itu dan jika wujud pelanggaran, lesen mereka (lesen syarikat pengendali e-hailing) akan digantung,” katanya seperti dilapor.-UTUSAN online










