Berpakaian ala 1930-an, kayuh basikal klasik - Utusan Malaysia

Berpakaian ala 1930-an, kayuh basikal klasik

PESERTA mengenakan pakaian era 1930-an bersedia sebelum pelepasan Program Kayuhan Sulung Basikal Klasik Bukit Rambai 2022 di Taman Rambai Utama, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki memakai baju lusuh ala penoreh getah dengan basikalnya dimuatkan dengan tong susu getah sambil mengayuh basikal klasik dari Taman Rambai Utama hingga ke Muzium Kapal Selam, Banda Hilir di sini telah mencuri tumpuan orang ramai.

Tidak kurang juga seorang lagi lelaki yang lengkap beruniform askar Jepun turut menjadi perhatian pada Program Kayuhan Sulung Basikal Klasik Bukit Rambai Melaka 2022 yang berlangsung semalam.

Program anjuran Kelab Basikal Klasik Bukit Rambai dan Kelab Asamboi Bikers itu disertai hampir 200 peserta dari seluruh negara, lengkap berpakaian era 1930-an. 

Majlis pelepasan telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Kesemua peserta dilihat bersemangat mengharungi kayuhan sepanjang 15 kilometer (km) bermula dari Taman Rambai Utama dan mendapat perhatian orang ramai disebabkan keunikan dan nilai artistik dipamerkan.

Seorang peserta, Mohd. Nasir Wahab, 61, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, dia teruja setiap kali menyertai kayuhan basikal klasik yang mana perasaan itu tidak dapat diluah dengan kata-kata.

“Saya mengenakan pakaian arwah bapa sewaktu menjadi penoreh getah, tak sangka ia paling mencuri tumpuan termasuk basikal milik arwah datuk jenis Hercules dilengkapi dengan tong-tong mengisi susu getah.

“Inilah harta peninggalan arwah ayah dan datuk. Saya gunakan harta ini setiap kali menyertai kayuhan basikal klasik,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bagi Adnan Bahari, 49, dari Temerloh, Pahang pula, tujuannya menyertai kayuhan tersebut adalah semata-mata ingin bertemu ramai kenalan, di samping melihat pelbagai basikal klasik yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Dia yang mengenakan uniform polis tahun 1940-an turut menggunakan nama Leftenan Adnan dijahit pada baju dipakainya sambil membawa trompet dan Jalur Gemilang.

“Keseronokan kayuhan ini tidak dapat digambar dengan kata-kata, walaupun jauh program dianjurkan saya pasti akan luangkan masa,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya