45,000 banduan jenayah kecil

45,000 banduan jenayah kecil

KEBANYAKAN penjara di negara ini semakin sesak dengan kira-kira 45,000 terdiri daripada banduan pesalah jenayah kecil dan penyalahgunaan dadah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 70 peratus atau 45,000 daripada 67,507 banduan yang meringkuk dalam penjara di seluruh negara melibatkan pesalah jenayah kecil dan penyalahgunaan dadah.

Laporan perangkaan 2020 dalam jawapan bertulis Kemen­terian Dalam Negeri (KDN) itu didedahkan di Dewan Negara pada tahun yang sama, antaranya kerajaan membelanjakan kira-kira RM10 sehari untuk kos makanan setiap banduan di 38 penjara yang ada di negara ini.

Ini bermakna kerajaan mem­be­lanjakan kira-kira RM250 ju­ta setahun bagi menampung kos makanan 67,507 banduan, jumlah yang menyamai kos pem­binaan 12 sekolah kebangsaan.

Malah, statistik sehingga Ogos 2021 menyaksikan jumlah banduan yang menjalani hukuman meningkat 13.5 peratus atau 8,265 orang melebihi kapasiti maksimum 60,000 orang menyebabkan penjara semakin se­sak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nuzul Izzah Anwar berkata, usaha mengurangkan jumlah penghuni penjara harus dilihat dalam pelbagai aspek antaranya jenis hukuman dan pencegahan khususnya menangani ketagihan dadah berbanding undang-undang berat.

Beliau yang juga Ahli Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Memperbaharui Pen­­jara dan Tempat Tahanan berkata, inisiatif itu harus digandingkan dengan langkah pencegahan jenayah dan menghapuskan ama­­lan penggunaan dadah yang menjadi punca pengliba­tan mereka.

“Menjelang 2030, sasaran kerajaan adalah bagi memulih dan menyerapkan 75 peratus ban­duan risiko rendah dalam masyarakat melalui program interaktif.

“Namun tanpa memaksimumkan mekanisme perintah kehadiran wajib dan mewujudkan jawatankuasa pelaksanaan hukum, kita tidak mampu mengawal selia pelaksanaan bermula daripada pembebasan, menjalani hukuman kemasyarakatan sehinggalah proses rehabilitasi melibatkan setiap peringkat dan agensi.

“Jawatankuasa pelaksanaan hukuman juga mampu mengambil kira kategori banduan yang tidak melibatkan jenayah ganas dan boleh diberikan pelepasan awal dan nasib banduan seumur hidup mengikut norma seperti mana dilakukan model negara lain sehingga mampu mengurangkan jumlah banduan yang ditahan,” katanya.

Dalam nada sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu memfokuskan untuk membantu bekas banduan kembali diterima masyarakat dengan memberikan peluang kedua kepada mereka untuk bekerja dan berbakti kepada tanah air.

Jelasnya, kebanyakan pe­salah berulang disebabkan mereka tidak diterima masyarakat, sekali gus mendorong untuk me­lakukan ke­salahan sama meskipun baru sahaja keluar daripada tirai besi.

“Kesukaran dan kegagalan memulakan kehidupan baharu menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan, seterusnya terjerumus kembali dalam kancah jenayah, termasuk dadah dengan kemungkinan ditangkap dan dipenjarakan semula adalah tinggi.

“Sewaktu saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya menggerakkan kempen Reben Kuning iaitu satu inisiatif agar bekas banduan diterima masyarakat dengan peluang pekerjaan yang digerakkan syarikat korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, beliau senada dengan pandangan pensyarah Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman yang berpandangan penagih perlu sokongan, bukannya hukuman semata-mata apabila ahli akademik itu pernah melontarkan idea bahawa perlunya kajian semula dan pindaan yang menyeluruh kepada Akta Dadah Berbahaya dan Akta Rawatan dan Pemulihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN