PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menjalankan 194 serbuan ke atas pusat hiburan yang dijalankan polis di seluruh negara dengan 55 serbuan dilakukan di ibu negara dalam tempoh enam bulan sejak Januari lalu.
Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pendedahan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berhubung senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.
Katanya, PDRM sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.
“Dalam serbuan pusat hiburan di ibu negara, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas sebanyak 5,135.57 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah.
“Sebanyak 160 individu berjaya ditahan di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorsiah berkata, turut dirampas sebanyak 9,208.81 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah dalam serbuan di ibu negara.
Jelasnya, sebanyak 449 kes dengan 504 individu berjaya ditahan di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub mengikut akta sama.
“JSJN menjalankan Op Noda di lokasi yang disasarkan seperti rumah urut, hotel serta pusat hiburan bagi mencegah aktiviti maksiat.
“Dalam operasi itu, sebanyak 995 serbuan dijalankan bagi tempoh Januari hingga April lalu dengan tangkapan 2,948 individu yang terbabit dengan aktiviti pelacuran dan pusat hiburan di seluruh negara.
“Di Kuala Lumpur, sebanyak 420 serbuan dilakukan dengan 1,115 individu ditahan sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak 55 serbuan dibuat menerusi Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan PDRM dengan penahanan 117 individu dalam tempoh sama membabitkan serbuan pusat hiburan di seluruh negara.
Ujarnya, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan aktiviti persundalan dalam usaha membanteras kegiatan itu.
“Selain itu, PDRM mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) untuk memantau laman sesawang internet bagi menyekat aktiviti sedemikian.
“PDRM terbuka menerima sebarang maklumat aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana pihak untuk menyalurkan informasi melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.
“Bagi maklumat berkaitan aktiviti maksiat, orang ramai boleh menyalurkan informasi melalui emel Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di alamat [email protected],” katanya.
Media sebelum ini melaporkan MCCC akan menyerahkan senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Bukit Aman.
Presidennya, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan akan berjumpa dalam waktu terdekat.
Menurutnya, senarai premis pusat hiburan muzik tekno yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu diperoleh pihaknya menerusi tinjauan lapangan selain mendapat maklumat orang ramai.- UTUSAN











