12,000 beg darah diperlukan bagi tampung keperluan pesakit  - Utusan Malaysia

12,000 beg darah diperlukan bagi tampung keperluan pesakit 

MOHD Amran (kiri) turut meninjau keadaan penderma darah dalam Program Derma Darah di Hotel Perdana di Kota Bharu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 12,000 beg darah diperlukan Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menampung keperluan semasa pesakit di hospital berkenaan.

Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM, Dr Mohd Amran Ab Wahab berkata, hampir setiap bulan purata darah yang diperlukan adalah sebanyak 800 beg dan pada masa yang sama turut diberikan kepada mana-mana hospital yang memerlukan bekalan darah.

Mohd Amran berkata, setakat ini jumlah darah di unit berkenaan masih mencukupi, namun bekalan perlu dipastikan sentiasa ada memandangkan keperluan daerah sentiasa diperlukan setiap minggu dan bulan bergantung kepada jumlah kes kecemasan yang diterima.

“Kita memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk membantu pesakit yang memerlukan termasuk pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan, komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, thalasemia, kanser, kegagalan buah pinggang termasuk mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal.

“Ketika berdepan dengan penularan pandemik Covid-19, stok bekalan darah mengalami kemerosotan sehingga 50 peratus disebabkan kekangan untuk menganjurkan program selain perasaan takut dalam kalangan masyarakat untuk keluar menderma darah semasa pandemik,”katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Derma Darah di Hotel Perdana, di Hotel Perdana hari ini. 

“Kita memerlukan stok bekalan darah yang stabil dan melalui banyak program atau kempen derma darah yang diadakan ia ternyata mendapat sambutan yang mengalakkan daripada masyarakat selain kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa,”katanya. 

Mohd Amran berkata, bekalan darah yang paling rendah dalam simpanan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM adalah darah jenis O.

“Setakat ini, bekalan darah O diperlukan lebih banyak disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat di hospital mempunyai darah jenis O selain darah berkenaan juga boleh didermakan kepada individu daripada jenis kumpulan darah yang lain.

“Bagaimanapun pesakit darah O hanya boleh menerima darah O sahaja, namun pesakit darah A boleh terima darah O atau A, kumpulan B (boleh terima O atau B) dan darah AB (boleh terima semua).

“Selain itu, setiap hospital di negeri ini turut membantu jika berlaku dan ketika ini, bekalan darah yang tinggi diperlukan pada masa ini juga disebabkan hospital sudah mula melakukan proses pembedahan sepenuhnya, bagi kes tertangguh agak lama kerana pandemik Covid-19,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN