Warga tempatan disyaki dalangi pencerobohan bot nelayan Vietnam - Utusan Malaysia

Warga tempatan disyaki dalangi pencerobohan bot nelayan Vietnam

HAMID Mohd. Amin bergambar dengan para peserta Seminar Penguatkuasaan Maritim di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesyaki kemungkinan besar ada warga tempatan menjadi dalang kepada siri pencerobohan bot nelayan Vietnam ke periairan laut negara.

Perkara tersebut didedahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, APMM, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin yang memberitahu, secara logik, tidak mungkin bot nelayan negara itu boleh sampai jauh ke Pulau Tioman dekat sempadan perairan Johor kecuali ada penglibatan penduduk tempatan.

“Saya secara peribadi mengesyaki ada sindiket dalam Malaysia sendiri yang terlibat sebagai tekong darat yang mungkin beri bot kepada rakyat Vietnam untuk tangkap ikan di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Maritim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, pencerobohan bot Vietnam bukan isu baharu dan nelayan itu juga biadab, menangkap ikan dalam jumlah besar sehingga habis sumber perikanan negara.

“Bayangkanlah semalam pun ada kes dua lagi bot Vietnam masuk secara haram ke Tioman dan APMM untuk jangka panjang sudah ada bina pangkalan maritim di pulau itu,” tambahnya.

 Kegiatan nelayan negara itu turut memeningkan pihak berkuasa Indonesia apabila ribuan bot Vietnam mula bertindak berani di Natuna, sebuah pulaun di perairan Laut China Selatan.

Dianggarkan terdapat hampir 10,000 bot nelayan Vietnam beroperasi di laut berkenaan dengan setiap tahun lebih 3,000 buah daripadanya dikesan menceroboh perairan selatan China.

Berdasarkan rekod bebas antarabangsa, sejak 2006 sehingga akhir tahun lalu, hampir 2,000 bot negara itu menceroboh Malaysia yang melibatkan kerugian tahunan bernilai RM6 bilion.

Menyentuh tindak balas yang diambil oleh APMM bagi mengekang pencerobohan itu, beliau berkata, pihaknya sudah pun menggunakan pelbagai wadah termasuk cara saluran diplomatik.

 “Bukan itu sahaja, kita pernah berunding dengan agensi mereka di tengah laut. namun. tetap lagi berdegil kerana sumber perikanan Malaysia amat mewah berbanding di sana,” kata Hamid.

 Keadaan ini dapat dilihat jelas daripada taburan pergerakan bot Vietnam kerana anehnya, tiada langsung pun kelibat mereka di Kemboja dan Thailand yang sudah hampir kehabisan ikan.

Beliau dalam nada diplomasi berharap agar kerajaan Vietnam lebih faham dan tidak pula ‘pejam sebelah mata’ dengan membiarkan sahaja nelayan mereka bebas menceroboh negara jiran.

Bahkan, ada ketika kapal pengawal pantai negara itu pula muncul melindungi bot nelayan Vietnam untuk membawa mereka keluar dari perairan Malaysia sebelum sempat ditahan oleh APMM.

Bagaimanapun, ujar beliau, APMM tidak teragak-agak menggunakan kaedah lebih maksimum selain aspek penguatkuasaan undang-undang amat tegas jika isu itu masih terus berlarutan. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya