Warga Indonesia lega Feri Kukup kembali beroperasi - Utusan Malaysia

Warga Indonesia lega Feri Kukup kembali beroperasi

RAKYAT negara jiran memanfaatkan pembukaan semula perkhidmatan feri Indonesia ke Malaysia yang beroperasi di TFAK, Pontian di Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pembukaan semula operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) disambut baik dan memberi kelegaan khusus buat pengembara yang mempunyai ahli keluarga dan saudara di Tanjung Balai Kerimun, Indonesia mahupun di negara ini.

Katanya, awal bulan lalu, mereka sekeluarga mengambil masa selama dua hari dan membelanjakan sebanyak RM3,000 semata-mata untuk menghadiri pengebumian adik suaminya di sana.

“Ketika itu, terminal feri ini masih belum beroperasi. Maka, kami terpaksa menaiki feri di Terminal Feri Pasir Gudang menuju ke Pulau Batam. Keesokan harinya barulah menaiki feri ke Tanjung Balai, sangat leceh dan kos sangat tinggi mencecah RM3,000.

“Jadi, dengan pembukaan semula TFAK ini, ia memudahkan kami sekeluarga dan untuk pulang semula ke sini dengan kos yang tidak terlalu mahal serta memakan masa 45 minit sahaja untuk sampai ke sini.

“Saya berharap terminal feri ini akan berterusan beroperasi selepas ini agar senang untuk kami sekeluarga pergi ke sana secara balik hari atau ada masanya mengambil cuti panjang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mimi bersama suami dan dua anaknya adalah antara lebih 100 penumpang feri pertama dari Tanjung Balai Karimun yang kembali beroperasi semula pada hari ini setelah dua tahun tidak berjalan.

Dia bersama keluarga yang tinggal di Batu Pahat lebih senang untuk pergi ke TFAK dan menaiki feri secara terus ke Tanjung Balai berbanding terminal feri yang lain dan menelan belanja yang tinggi.

Dalam pada itu, Umi Laili Rabani, 61, tidak dapat menahan sebak apabila kembali menjejakkan kaki ke negara ini setelah dua tahun berjauhan dengan ibu serta adik beradik yang lain.

Katanya, dia bersama kakak dan anak saudaranya tiba menaiki feri pertama itu tidak sabar untuk bertemu ibunya di Batang Kali, Selangor setelah lama duduk berjauhan.

“Selama tidak berjumpa ini, kami hanya membuat panggilan video sahaja, namun disebabkan ibu ada masalah pendengaran, rasa tidak puas untuk bertanya khabar.

“Adik saya yang tinggal bersama ibu akan menjemput kami untuk bertemu dengan ibu. Walaupun hanya dua tahun, rasanya cukup lama dan rindu untuk bertemu ibu yang kian uzur,” katanya. 

Bagi Sarah Bedol, 26, pengoperasian semula terminal feri di Kukup membolehkan dia bertemu dengan datuknya, Khamis Rasir, 60, di Penerok, Pontian.

“Sebaik tahu terminal feri ini kembali beroperasi, saya cepat-cepat beli tiket untuk balik kampung di Pontian. Keluarga dan sanak-saudara sudah diberitahu saya akan menaiki feri pertama dari Tanjung Balai.

“Ibu saudara, Badariah Ahmad, 61, amat teruja sehingga dia datang menjemput saya di terminal feri hari ini. Rasa sebak bila dapat bertemu semula,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN