Russia lancar serangan udara terbesar terhadap Ukraine - Utusan Malaysia

Russia lancar serangan udara terbesar terhadap Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia melancarkan lebih 500 serangan terhadap Ukraine sepanjang malam Ahad, menjadikannya serangan udara terbesar sejak perang bermula lebih tiga tahun lalu, menurut kenyataan pihak berkuasa Ukraine.

Laporan The Guardian memetik tentera udara Ukraine yang memaklumkan Moscow menembak 477 dron, selain melancarkan 60 peluru berpandu ke arah sasaran di seluruh negara.

Meskipun 475 daripada serangan itu dipintas atau hilang, Ketua Komunikasi Tentera Udara Ukraine, Yuriy Ihnat memberitahu Associated Press bahawa skala serangan ini belum pernah berlaku sejak pencerobohan besar-besaran Russia bermula pada Februari 2022.

Serangan turut menyasarkan wilayah yang jauh dari barisan hadapan, termasuk kawasan di barat Ukraine, menunjukkan jangkauan strategik Russia dalam operasi tersebut.

Dalam kenyataannya, tentera Russia mengesahkan serangan itu menyasarkan kompleks industri ketenteraan Ukraine dan kilang penapisan minyak, selain memintas tiga dron yang dilancarkan Ukraine.

Skala besar serangan ini menimbulkan persoalan berhubung kenyataan Presiden Russia Vladimir Putin baru-baru ini, yang menyatakan kesediaan Moscow untuk kembali ke meja rundingan damai di Istanbul.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam reaksinya menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai bukti bahawa Putin memilih untuk meneruskan peperangan.

“Moscow tidak akan berhenti selagi ia masih mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan besar-besaran,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Zelensky turut mendedahkan dalam minggu lalu sahaja, Russia melancarkan lebih 114 peluru berpandu, 1,270 dron, dan hampir 1,100 bom ‘glide’ ke atas Ukraine.

“Perang ini mesti dihentikan. Tekanan terhadap pihak penceroboh perlu dipertingkatkan, dan begitu juga dengan perlindungan terhadap rakyat kita.

“Ukraine perlu memperkukuh pertahanan udara sebagai langkah utama untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×