Tiada pembalakan di Gunung Suku, hujan lebat punca kepala air

Tiada pembalakan di Gunung Suku, hujan lebat punca kepala air

JABATAN Perhutanan Perak mengesahkan tiada aktiviti pembalakan di sekitar kawasan Gunung Suku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Fenomena kepala air yang menghanyutkan dua pendaki wanita di Gunung Suku dekat Hutan Simpan Bukit Kinta, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dipercayai berpunca daripada hujan lebat memandangkan tidak ada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam kenyataannya berkata, tidak ada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan, malah kepala air itu berlaku berikutan hujan lebat pada awal pagi.

“Berdasarkan semakan, tiada sebarang lesen pembalakan di sekitar lokasi kejadian.

“Pihak jabatan akan menutup sementara kebenaran mendaki Gunung Suku ekoran keadaan yang agak bahaya ketika ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semakan oleh Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung mendapati kehilangan dua pendaki itu berlaku di sebahagian kompartmen 115 Hutan Simpan Bukit Kinta, daerah Hutan Kinta/Manjung.

Katanya, Gunung Suku terletak lebih kurang 30 kilometer dari Balai Polis Simpang Pulai iaitu di Jalan Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands. 

“Dua pendaki wanita itu adalah daripada kumpulan 29 individu yang mempunyai permit yang sah untuk memasuki hutan simpan kekal berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa sedang dijalankan dengan Jabatan Perhutanan negeri turut membantu pasukan polis dan bomba dalam operasi tersebut,” katanya.

Semalam, pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian telah menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Siku.

Kaki bahagian kiri itu dijumpai anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sekitar pukul 5.05 petang pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dihanyutkan arus deras kepala air. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku.

Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 30, dan Ng Yee Chew, 46. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN