Syarat ketat demi keselamatan bakal haji

Syarat ketat demi keselamatan bakal haji

PERATURAN ketat yang dikenakan kepada bakal haji negara ini demi keselamatan mereka sepanjang berada di Tanah Suci Mekah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat ketat kesihatan ke atas jemaah haji pada tahun ini bertujuan menjaga keselamatan dan mengurangkan risiko penularan Co­vid-19 semasa di Tanah Suci.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, peraturan yang dianggap lebih ketat daripada tahun-tahun sebelum pandemik itu dapat mengelakkan daripada komplikasi yang lebih teruk.

Katanya, terdapat risiko di Arab Saudi apabila berjuta jemaah daripada seluruh dunia berkumpul dan membuka kepada jangkitan yang mengakibatkan kesan lebih teruk.

“Arab Saudi juga sudah mene­tapkan syarat-syarat tertentu seperti jemaah mesti berumur bawah 65 tahun dan mengambil vaksin penuh, ia bermaksud seseorang itu perlu tubuh badan serta bebas daripada penyakit yang membawa kepada komplikasi.

“Kita juga tidak mahu susahkan pegawai-pegawai perubatan di sana, jadi, jika boleh elak, kita perlu elak. Saya harap jemaah yang tidak berjaya lepasi saringan kesihatan reda kerana kita hanya merancang tetapi Allah menentukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar melaporkan hanya 45 daripada 85 jemaah haji di Perlis yang ditawarkan ke tanah suci berjaya melepasi saringan kesihatan ditetapkan itu susulan untuk ke sana memerlukan mereka bebas daripada penyakit kronik se­perti obesiti, menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi tidak terkawal.

Sementara Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Malaysia, Mohd Azri Abd Razak berkata, langkah menyaring jemaah yang sihat tepat masanya demi keselamatan mereka.

“Kalau dulu tak mengapa sebab Covid-19 pun tak ada lagi jadi ia tidak membimbangkan tetapi berbeza sekarang kerana jika jemaah Malaysia dijangkiti di sana akan ada masalah-masalah yang perlu dihadapi.

“Di sana pun memang orang sangat ramai, malah, semasa musim haji pun dijangkakan keadaan panas, kalau orang yang tak biasa memang akan sakit. Sebab itu kita perlu cari jemaah berkualiti. Bukan kita tak nak bagi mereka pergi, tetapi ini juga salah satu syarat Arab Saudi jadi memang perlu ikut,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours, Mohammad Adzri Othman memaklumkan, syarikatnya sebagai pengelola jemaah haji (PJH) terpaksa menolak penyertaan lima ke enam jemaah kerana tidak melepasi saringan kesihatan.

“Apakan daya kita tidak boleh menyangkal perkara ini kerana ia melibatkan kesihatan, kalau dijangkiti di sana siapa nak pantau? Jika di sini kita ada barisan perubatan kita seperti Hospital Sungai Buloh yang akan mera­wat mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN