Strategi ‘luar kotak’ Rafizi harapan baharu PH

Strategi ‘luar kotak’ Rafizi harapan baharu PH

Rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Langkah Sheraton 24 Februari 2020 meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang membawa 11 ahli parlimen PKR keluar parti itu dike­tuai timbalan presidennya, PKR seakan hilang punca.

Kekalahan teruk dialaminya empat pilihan raya negeri bermula Sabah tujuh bulan kemudian dan terakhir 12 Mac tahun ini di Johor, mengusutkan lagi PKR.

Barangkali pemilihan parti yang baru selesai dipercayai memberi nafas baharu dalam meremaja (rejuvenate) dan mengembalikan semangat perjuangan PKR. Mungkin juga kemenangan Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden yang baharu suatu cerminan keinginan hasrat akar umbi PKR untuk melihat satu barisan kepimpinan yang benar-benar padu serta membawa semangat baharu.

Lebih-lebih lagi dengan Pre­sidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak begitu berupaya untuk melakukan anjakan PKR. Paling penting sekarang bagaimana Rafizi, 44, dapat menyatukan semangat kesepaduan dalam parti itu dengan mereka yang tewas termasuk pesaingnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Bagaimanapun Saifuddin Nasution telah pun memberi komitmen untuk itu.

Kalangan pemimpin PH terutama DAP sendiri maklum selain Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi pencetus aura kejutan PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Rafizi juga dikatakan tulang belakang kemenangan bersejarah itu.

LICIK

Dari segi strategi politik luar kotaknya yang memiliki “big data” selain ‘licik dan penuh helah’, Rafizi yang buat comeback selepas berehat selama dua tahun menjadi kelebihan bukan sahaja kepada PKR, bahkan PH.

Dan sudah tentu dengan kepimpinan baharu PKR ini memberi mesej kepada BN yang tidak harus selesa. Kepada pemerhati, BN memiliki kelebihan jika PRU15 dilangsungkan waktu ini, setidak-tidaknya sebelum September. Apatah lagi pandemik Covid-19 terkawal. Jika faktor masanya sudah tiba dan sesuai untuk dibubarkan Parlimen waktu ini, mengapa harus dilewatkan?

Apa sahaja boleh berlaku, dengan hari ini tidak ada isu besar melainkan kos sara hidup.

Adakah pemilihan PKR yang baru selesai akan membawa kepada penyatuan segera parti-parti pembangkang. Ketika ini parti-parti pembangkang belum memutuskan sebarang kerjasama termasuk ‘khemah besar’.

Bagaimanapun pendirian Rafizi yang diciapkan dalam twitternya 21 Mei lalu jelas: “Ha3 kami tak minat khemah2 ni, masa ribut cari kami berteduh, masa cuaca elok kamu bakar khemah. Aku ckp org tak percaya yg ada pihak terus runding dengan PN, skrg Abah sendiri dah confirm.”

Tidak dinafikan kemunculan Rafizi akan melakarkan politik baharu yang menguatkan kembali pembangkang. Gandingan beliau dengan anak Anwar, Nurul Izzah serta beberapa pemimpin muda yang berfikiran baharu antaranya dua naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, 40, dan Chang Lih Kang, 41, serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim, 32, akan membawa cabaran se­ngit kepada BN serta Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN