HANOI: Kejayaan menemui kembali sentuhan penyudah dalam temasya Sukan SEA Vietnam menjadi pembakar semangat buat Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk terus meledak gol.
Keyakinan itu disuarakan pemain kelab Jepun, Azul Claro yang menjaringkan dua gol ketika skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara diikat Kemboja 2-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.
Jelas Fayyadh, dalam bola sepak tiada istilah ‘pilih lawan’ kerana apabila layak ke peringkat empat terbaik pasukan negara perlu bersedia berdepan siapa pun lawan.
“Alhamdulillah dengan bantuan rakan sepasukan saya menjaringkan dua gol dan menamatkan kemarau gol di Sukan SEA kali ini tetapi kami tidak bernasib baik apabila seri.
“Sudah tentu gol ini memberi saya lebih keyakinan dan akan membakar semangat saya untuk perlawanan seterusnya untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Keputusan Malaysia diikat Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan B menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney memilih jalan sukar untuk mara ke final apabila dijadualkan menentang tuan rumah, Vietnam pada aksi separuh akhir di Stadium Viet Tri, esok.
Bagi penyerang yang memiliki ketinggian 1.86 meter itu, dalam bola sepak segalanya tiada yang mustahil dan optimis pasukan negara mampu melakukan kejutan.
“Dalam bola sepak tiada mustahil apa sahaja boleh terjadi, siapa sahaja lawan di separuh akhir kami akan langgar dan cuba sebaik mungkin untuk layak ke final.
“Kami antara pasukan yang terbaik di kejohanan ini selepas layak, jadi sesiapa sahaja memiliki peluang. Cuma kita masih banyak yang perlu lakukan lagi antara ketika bertahan dan belajar untuk menjaringkan gol menggunakan setiap peluang yang dihidangkan
“Saya harap perlawanan menentang Vietnam ini kita akan lebih fokus dan memberi lebih 120 peratus untuk menang dan saya yakin kita dapat lakukan, akan ada satu keputusan positif,” jelasnya.
Pencapaian edisi lalu di Manila 2019 menyaksikan pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan. – UTUSAN










