PETALING JAYA: Remaja berusia 16 tahun, Muhammad Al Muizz Al Mawardi yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Cheras pada Ahad lalu ditemukan dalam keadaan selamat.
Perkara itu disahkan oleh bapa remaja berkenaan, Almawardi Mohamad, 41, yang memaklumkan anaknya ditemukan oleh pihak polis pada pukul 12 tengah malam tadi di Pokok Sena, Kedah.
Bagaimanapun, Almawardi tidak dapat menceritakan kejadian tersebut dengan lebih terperinci kerana kes tersebut disiasat polis.
“Terima kasih kepada semua pihak yang dan bantu, anak saya sudah ditemui berkat doa dan bantuan semua orang, banyak media bantu menyiarkan kisah kami. Alhamdulillah.
“Maklumat lain tidak boleh didedahkan sebab tak mahu mengganggu siasatan pihak polis ketika ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam tular dalam laman sosial berhubung kehilangan remaja tersebut selepas keluar ke masjid berhampiran rumahnya di Bandar Tasik Selatan dekat sini sejak Ahad lalu.
Ibunya, Nuraliana Alias, 38, dilaporkan berkata, sebelum ini, anaknya tidak pernah tidak pulang ke rumah, malah jarak masjid itu hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka.
Anak ada memaklumkan kepada kami hendak keluar berhari raya bersama kawan-kawannya selepas solat Subuh tetapi sehingga sekarang masih belum pulang.- UTUSAN ONLINE