PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi tumpuan terhadap kelab-kelab malam yang beroperasi tanpa lesen serta menggaji gadis pelayan (GRO) serta pekerja asing tanpa dokumen sah menjelang pembukaan semula 15 Mei ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, walaupun kelab malam dan premis hiburan dibenarkan bermula 15 Mei, namun, pihaknya tidak akan berhenti melakukan serbuan terhadap premis hiburan tanpa lesen.
Katanya, PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pusat-pusat hiburan.
“Operasi kini bukan kepada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, namun, tertumpu terhadap ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan,” katanya di sini.
“Antaranya premis yang beroperasi tanpa lesen, pemilik yang mengupah wanita warga asing untuk aktiviti pelacuran dan pekerja asing tanpa dokumen sah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagaimanapun, Mohamad Noor berkata, pihaknya kini menunggu SOP pengoperasian premis hiburan bakal dimuktamadkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum 15 Mei.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang penganjuran parti persendirian di premis-premis kediaman.
“Tiada pihak akan terlepas, kita akan gempur lokasi yang mengadakan parti liar dan premis hiburan haram,” ujar beliau.
Pada 27 April lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam SOP MKN terbitan 1 April 2022 digugurkan selaras dengan fasa peralihan ke endemik.
Beliau dilaporkan berkata, agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasiannya.
“Prosedur ini akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 15 Mei,” katanya.
Sehingga hari ini, kelab malam adalah satu-satunya aktiviti yang kekal dalam senarai negatif kerajaan. – UTUSAN










