PATI beri alasan pasport tertinggal elak ditahan - Utusan Malaysia

PATI beri alasan pasport tertinggal elak ditahan

SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditahan dalam serbuan di premis perniagaan di Pantai Chenang, Langkawi, semalam. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI:  Cubaan seorang lelaki warga Yaman untuk melarikan diri dengan memberi alasan mahu mengambil pasport miliknya di dalam kereta gagal apabila dia ditahan dalam serbuan di premis perniagaan di sekitar Pantai Chenang di sini, semalam.

Warga asing itu ditahan sepasukan penguat kuasa imigresen selepas dia didapati tidak mempunyai permit kerja untuk bekerja secara sah di negara ini dalam Op Gegar dan Op Selera kira-kira pukul 9 malam.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) Kedah berkata, seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara iaitu Thailand, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Yaman, Mesir dan Syria ditahan dalam operasi tersebut.

“Mereka terdiri daripada 22 lelaki dan dua wanita berusia antara 16 hingga 43 tahun.

“Sebahagian daripada mereka merupakan pekerja dan pelanggan premis di sepanjang pantai itu,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, warga asing itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti masuk atau tinggal di negara ini tanpa dokumen sah, tinggal melebihi tempoh sah dokumen serta melanggar syarat pas diberikan.

Tambahnya, kesemua mereka dibawa ke lokap Pejabat Imigresen Cawangan Langkawi dan akan dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantek, Sik dekat sini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN